KUALA LUMPUR – Memo dalaman daripada Jabatan Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dibocorkan bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik di akaun X miliknya.
Memo dua muka surat yang didedahkan Maszlee itu didakwa utusan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan semua pegawai awam menerusi Mesyuarat Pengurusan Jabatan Perdana Menteri Tahun 2024 agar tidak membuat sebarang pernyataan awam melainkan yang diberi kuasa atau mandat bagi pihak kementerian atau Jabatan.
“Jika disabitkan kesalahan dan mengingkari mana-mana peraturan yang sedang berkuat kuasa, tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam terlibat.
“Pegawai awam termasuk pegawai badan berkanun tidak boleh secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat pernyataan awam yang boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau kerajaan tentang apa-apa isu, dan atau memalukan atau memburukkan nama badan berkanun atau kerajaan, dan atau membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau kerajaan, dan atau mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat olehnya ata mana-mana orang lain.
“Larangan berkaitan perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam Peraturan 18(1) dan 18(2), Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj 2000 [Akta 605],” dedah Maszlee berkait kandungan memo dalaman berkenaan.
Maszlee yang juga, pemimpin jawatankuasa pusat PKR itu memaklumkan, dia menerima dokumen berkenaan daripada rakan akademik yang mesejnya berbunyi: “Tuan, harap anda sihat. Hari yang menyedihkan bagi ahli akademik Malaysia di mana Akta 605, pembunuh kebebasan akademik sebenar, telah diterjemahkan ke dalam tindakan. Secara teknikalnya semua penyelidik dasar di UKM diisytiharkan pekerjaan mereka sebagai sulit.”
Memo bertarikh 8 Oktober itu mengingatkan ahli akademik supaya tidak membuat kenyataan awam, termasuk di media sosial, melainkan dibenarkan atau diberi mandat berbuat demikian.
Dalam hantaran X berkenaan juga Maszlee ditanya adakah pensyarah atau penganalisis dikalangan ahli akademik juga dihalang daripada mengulas?
Maszlee berkata, jika Jabatan Pendaftar sudah menetapkan Akta 605 maka ia tidak dibenarkan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak menyekat kebebasan mana-mana ahli akademik untuk bersuara termasuk menyentuh isu berkaitan 3R (agama, kaum dan raja) asalkan tidak melampaui batas atau berunsur hasutan.
Menurut Anwar, perkara itu telah diberikan penekanan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
“Seorang sarjana dari universiti tidak disuruh menjadi pak turut, harus bebas bicara dan ini yang kita tekankan dalam negara ini.
“Ini yang saya tekankan kepada menteri pendidikan tinggi sekiranya ada sekali pun yang bicara tentang 3R, itu hanya sekatan apabila kenyataan-kenyataan itu sudah melampau, menghasut kaum, membenci satu sama lain, mengguna agama untuk mendajalkan orang, memunafikkan orang dengan mudah,” ketika berucap pada majlis memperingati ahli akdemik yang juga tokoh politik, Syed Husin Ali di Universiti Malaya (UM) pada 21 September lalu.