Hadi kritik RUU Mufti Wilayah?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan perbezaan mazhab-mazhab sebenarnya mengandungi hikmah yang sangat besar dalam ajaran Islam, dan menerima keluasan ajaran Islam dalam konteks agama bagi negara secara umum.

Menurut beliau, dalam negara kita sendiri, Islam dibawa dengan pendekatan pelbagai mazhab kerana perubahan tempat dan masa daripada tempat kelahiran Imam al-Syafi‘i .

“Antaranya seperti masalah zakat, kerakyatan, penerokaan tanah (ihya’ al-mawat) dan lain-lain.

“Oleh itu, hendaklah kita melihat perbezaan mazhab-mazhab ini sebenarnya mengandungi hikmah yang sangat besar dalam ajaran Islam, dan menerima keluasan ajaran Islam dalam konteks agama bagi negara secara umum,” catat beliau dalam Minda Presiden Pas pada Khamis.

Justeru tegas Hadi, perkara rukun Islam, rukun Iman dan ihsan serta rukun fitrah manusia yang wajib diimani tanpa ragu.

Ini katanya, termasuk perkara yang diwajibkan, perkara halal dan haram adalah wajib diterima oleh semua mazhab.

“Adapun yang menolaknya tidak dinamakan mazhab, tetapi dinamakan firqah yang keluar daripada agama Islam seperti Qadiani, Bahai, ajaran Ayah Pin dan sebagainya,” katanya.

Meskipun tidak merujuk mana-mana konteks, Hadi mungkin mengulas RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dimaklumkan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Resolusi pertama RUU itu menyentuh, akidah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) yang berlandaskan mazhab Asyairah dan Maturidiah adalah tonggak utama dalam memelihara kesucian Islam daripada ancaman pemikiran yang sesat.

Oleh itu, usaha mempertahankan akidah ASWJ ini harus melampaui batasan sentimen politik kepartian, masalah peribadi di kalangan pendakwah serta perbezaan pandangan dalam hal-hal cabang (furu’).

Memperincikan ulasan beliau, Hadi menjelaskan, dalam ajaran Islam juga ada perkara umum yang menghadapi keadaan yang berubah atau tempat yang berbeza dan keadaan situasi dan realiti yang berlainan, tafsiran yang berbagai-bagai, dalam perkara furu‘ (cabang daripada pelaksanaan dasar dan rukun).

“Antaranya seperti solat jamak dan qasar ketika musafir dan darurat, azan dua kali pada hari Jumaat dalam perkara ibadat, bermesyuarat, pentadbiran, persediaan pertahanan negara, mengawal wabak, meneroka tanah, perubatan dengan benda haram kerana darurat dan lain-lain.

“Dalam masalah ini, berlakunya perbezaan mazhab (pendapat yang berlainan) sejak zaman Nabi Muhammad SAW daripada kalangan para sahabat di Madinah, para sahabat yang berjauhan, tabiin dan generasi yang kemudian.

“Maka, adanya mazhab para sahabat, tabiin dan generasi yang kemudian dan boleh berbeza pendapat pula walaupun dalam satu mazhab yang sama. Maka, perlu dibaca sejarah dan perbezaan masyarakat yang berbeza tempat dan zaman,” jelas Hadi lagi.

Menurut beliau, generasi tiga kurun yang pertama iaitu dari tahun satu hingga 300 Hijrah dinamakan Salaf, manakala generasi berikutnya pula dinamakan Khalaf.

Ujarnya, dalam perkara akidah, terbahagi kepada dua mazhab iaitu mazhab Salaf dan mazhab Khalaf dalam aspek akidah, masing-masing mentafsirkan perkara sifat, qada’ dan qadar, khususnya mentafsirkan ayat-ayat mutasyabihat.

“Semua mazhab para sahabat, tabiin, empat mazhab yang terkenal dalam kumpulan Sunni dan ramai lagi berada dalam kurun Salaf. Termasuk mazhab Syiah dan mazhab Ibadi (Khawarij) yang berada pada tiga kurun awal juga bermazhab Salaf. Mereka dilahirkan pada abad-abad yang awal, walaupun berbeza dalam aspek hukum syariat dan pendirian politik (siyasah syar‘iyyah).

“Namun begitu, mereka bersatu dalam perkara rukun, khususnya mereka tidak mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat dalam aspek aqidah ketuhanan serta qada’ dan qadar.

“Mazhab Salaf tidak mentafsirkan ayat-ayat mutasyabihat dengan menyerahkan maknanya kepada Allah tanpa mentafsirkannya (tafwidh), dan mereka berpegang kepada aqidah bahawa Allah tidak sama dengan makhluk-Nya.

“Manakala dalam Mazhab Khalaf pula, para ulama mentafsirkan ayat-ayat mutasyabihat (ta’wil) berdasarkan kaedah bahasa al-Quran yang tinggi dari segi sastera Arab, sehingga ia mampu menolak hujah falsafah yang mengelirukan apabila berlaku zaman penterjemahan buku asing ke dalam bahasa Arab,” kata beliau.

Berlaku pelbagai masalah yang menimbulkan perbezaan mazhab dalam Islam justeru kata Hadi, masalah politik berkaitan pemilihan khalifah dalam menentukan calon ketua negara Islam telah melahirkan mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij.

Jelas beliau, adapun dalam masalah hukum syara‘ (fiqh) pula telah melahirkan lebih banyak mazhab fiqh. Manakala dalam masalah tasawuf pula melahirkan mazhab-mazhab yang dinamakan tarikat-tarikat yang berbeza.

“Pihak penyelidikan al-Azhar di Mesir (Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah) menamakan semua mazhab itu Ahli al-Kiblat yang disenaraikan sebagai satu umat Islam. Kemudiannya, diiktiraf oleh muktamar para ulama di Makkah dan Jordan yang dianjurkan oleh Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali yang bernaung di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Semua ulama besar mazhab menentang mazhabnya dijadikan mazhab rasmi negara kerana memadai dengan konsep Islam menjadi agama negara secara umum.

“Dalam perkara cabang pula berkonsepkan anjal (fleksibel) kerana perbezaan masyarakat, masa, situasi dan realiti. Semua imam mazhab melarang fanatik kepada mazhabnya dan menentukan mazhabnya menjadi mazhab sesebuah negara,” tegas beliau

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat