KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2024 – Mengangkat isu yang jarang sekali dibincangkan dalam masyarakat Melayu-Islam, SENYAWA, sebuah drama bersiri terbaru arahan Eyra Rahman dan diterbitkan oleh platform penstriman iQIYI, dijangka mencetuskan perbualan hangat. Bukan sahaja membawa tema percintaan dan keluarga, SENYAWA juga mendalami dilema moral yang sering menjadi tabu — penggunaan ibu tumpang dalam kalangan umat Islam.
Melalui drama yang akan mula ditayangkan pada 25 Oktober ini, isu ini dibedah dengan teliti melalui watak-watak yang dilakonkan oleh bintang-bintang terkenal Malaysia seperti Trisha Ooi, Shahz Jaszle, dan Siti Hariesa. SENYAWA menggali persoalan tentang bagaimana tekanan masyarakat dan keluarga terhadap perkahwinan tanpa zuriat boleh memaksa individu membuat keputusan yang melanggar hukum agama.
Dalam drama ini, watak utama Zabrina (lakonan Trisha Ooi) digambarkan sebagai seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya, namun berdepan dengan tekanan hebat selepas keguguran dan disahkan tidak boleh hamil kerana masalah kesihatan. Tekanan dari ibu mertuanya, Dato’ Asmida (lakonan Datin Nina Juren), memaksa Zabrina mempertimbangkan untuk menggunakan ibu tumpang – satu keputusan yang dianggap sebagai perbuatan terlarang dalam Islam. Konflik ini menjadikan *SENYAWA* lebih daripada sekadar kisah drama biasa. Ia membawa mesej yang lebih besar tentang bagaimana desakan keluarga dan masyarakat boleh menjerumuskan seseorang ke dalam tindakan yang melanggar prinsip agama.
Watak Lutfiyah, seorang gadis kampung yang diperkenalkan sebagai calon ibu tumpang, dilakonkan oleh Siti Hariesa. Lutfiyah mewakili sebuah golongan yang kerap kali terpinggir dalam perbincangan tentang hak wanita, terutamanya apabila ia melibatkan isu yang seakan bertentangan dengan norma agama dan sosial.
Bagi Trisha Ooi, watak Zabrina adalah cabaran besar dalam kerjayanya sebagai pelakon, “Watak Zabrina bukan mudah untuk dibawa kerana watak ini perlu bermain dengan emosi yang kompleks. Dari segi mental, saya perlu mendalami perasaan seorang wanita yang tertekan dan pada masa yang sama cuba mempertahankan rumah tangganya,” jelas Trisha.
Shahz Jaszle, yang memegang watak suami Zabrina, Iskandar, turut merasakan cabaran besar dalam membawa watak seorang lelaki yang cuba mempertahankan cinta dan kesetiaan terhadap isterinya meskipun terpaksa mengambil keputusan yang berat, “Sebagai suami, Iskandar harus berkorban, tetapi keputusan untuk menggunakan ibu tumpang bukanlah satu yang mudah kerana ia menentang hukum agama,” katanya.
Sementara itu, Siti Hariesa yang memainkan watak Lutfiyah menegaskan bahawa drama ini mengandungi banyak pengajaran moral, “Drama ini memberi peringatan agar kita berfikir panjang sebelum membuat keputusan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan agama,” jelasnya.
Sebagai platform penstriman yang semakin popular di Malaysia dan rantau Asia, iQIYI terus komited dalam membawakan kandungan tempatan yang relevan dengan isu-isu semasa. En. Jony Deng, Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, menyatakan bahawa mereka berharap SENYAWA akan mencipta impak besar, bukan sahaja sebagai hiburan, tetapi sebagai satu peringatan kepada masyarakat tentang nilai-nilai agama.
Dengan plot yang menjanjikan dilema moral, aspek percintaan yang mendalam, dan pengorbanan besar, SENYAWA dijangka bukan sahaja menghiburkan penonton, tetapi juga mengajak mereka berfikir tentang batasan agama dan moral dalam keputusan yang dibuat dalam kehidupan.
Jangan ketinggalan menonton SENYAWA pada 25 Oktober 2024, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9:00 malam di iQIYI, sebuah drama yang dijamin akan membuatkan anda tertanya-tanya tentang pengorbanan sebenar dalam kehidupan.