Tender Terbuka Sistem Imigresen Tidak Telus?

Pada Disember 2018 Kerajaan telah membatalkan kontrak Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bernilai RM3.5 bilion yang diberikan kepada Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSSB). Pembatalan bermotif politik ini bertujuan menjimatkan kos pelaksanaan dan memenuhi janji mengadakan tender terbuka.

Walaupun proses tender terbuka melalui ‘request for proposal’ (RFP) telah menarik minat 30 syarikat namun nama-nama yang disebut bakal bersaing mendapat kontrak ini hanyalah pemain yang sama.

Sebaik RFP ditutup 16 Ogos lalu, beberapa media ekonomi mula melaporkan bahawa terdapat lima buah syarikat yang mungkin berada dalam senarai pendek iaitu Datasonic Group Bhd, HeiTech Padu Bhd, Iris Corporation Bhd and Scicom MSC Bhd dan Maju Holdings.

Malah sebelum tarikh tutup pun nama beberapa syarikat diulang sebut seolah-olah ada agenda propaganda meyakinkan umum mengenai kemampuan syarikat-syarikat ini sahaja.

Mengapa begitu cepat spekulasi penyenaraian pendek ini sangat membingungkan. Kelima-lima syarikat ini dilihat mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan negara dan merupakan pemain industri sedia ada dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Iris Corp dikaitkan dengan tokoh perniagaan cina Datuk Paul Poh Yang Hong dan baru-baru ini turut disertai oleh Datuk Robin Tan. Robin Tan merupakan anak kepada Tan Sri Vincent Tan.

Datasonic Group telah pun mendapat kontrak Jabatan Pendaftaran Negara untuk Mykad kini turut dinamakan antara berpotensi sebagai pemenang tender IIS ini.

Pengerusi Datasonic, Jeneral Tan Sri (Dr) Mohamed Hashim bin Mohd Ali (B) merupakan abang ipar kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Keberadaan HeiTech Padu juga menimbulkan tanda tanya kerana mereka merupakan pembekal sistem imigresen sekarang, MyIMMS, yang mengalami pelbagai masalah. Laporan Ketua Pengarah Audit Negara 2018 menyifatkan MyIMMS “was found to be unsatisfactory.”

Scicom MSC Bhd merupakan pembekal sistem visa pelajar asing semasa. Manakala Maju Holdings milik Tan Sri Abu Sahid Mohamed yang mendapat konsesi MEX Highway merupakan salah seorang ahli perniagaan yang berkait dengan koridor kuasa hari ini.

Persoalan di kalangan puluhan syarikat yang menghantar RFP ialah mengapa nama-nama ini telah muncul sebelum tarikh tutup lagi.

Ini menimbulkan misteri sama ada tender terbuka ini sekadar agenda mengelabui mata pemain industri. Sekiranya ia dijalankan secara bersungguh, siapa jawatankuasa penilai ini.

Apakah kehadiran syarikat lain sekadar membuang masa dan wang?