UMNO Perak Nyatakan Sokongan Kepada Zahid Hamidi

IPOH: Badan Perhubungan UMNO Perak menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana yakin Presiden UMNO itu berada di pihak yang benar.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad, berkata UMNO negeri mendoakan semoga bekas Timbalan Perdana Menteri itu tabah ketika berdepan dugaan.

“Badan Perhubungan UMNO Perak menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sama ada dalam keadaan senang atau pun susah.

“UMNO Perak mendoakan semoga Datuk Seri Ahmad Zahid akan menghadapi semua dugaan dengan tabah. Kami yakin Datuk Seri Ahmad Zahid berada di pihak yang benar dan akan mendapat pertolongan Allah jua,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Media hari ini melaporkan Ahmad Zahid dijangka akan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jumaat ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, dalam kenyataannya dilaporkan berkata Ahmad Zahid sudah diberikan notis serah diri untuk ditahan jam 1.45 tengah hari tadi dan diarahkan untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM jam 3 petang esok dan dijangka akan didakwa keesokan harinya.

Ahmad Zahid sebelum ini diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut oleh SPRM minggu lalu berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Saarani berkata, ahli UMNO Perak akan meneruskan majlis bacaan Yasin dan solat hajat memohon pertolongan Allah semoga Ahmad Zahid diberikan kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran dan dugaan itu.

“Semoga Allah memberikan hidayahnya kepada orang yang mengendalikan siasatan dan pendakwaan ke atas beliau, sehingga beliau dibebaskan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.