Rafizi Cakap Tak Serupa Bikin, Bangkitkan Isu Politik Wang Tapi Bagi Dedak

SHAH ALAM – Di tengah-tengah kehangatan isu politik wang yang dikatakan berleluasa dalam PKR sebagaimana dakwaan Rafizi Ramli, pemimpin parti Latheefa Koya tampil ‘mendedahkan tembelang’ Naib Presiden parti itu.

Latheefa yang juga Penasihat Undang-Undang PKR memuatnaik sekeping gambar di halaman Facebook beliau yang menunjukkan kupon makanan tertera tulisan ‘Team Rafizi/Shatiri’ yang diedarkan sewaktu pemilihan pada Ahad lalu. 

Gambar tersebut disusuli dengan kapsyen “Kalau nak dapatkan kupon – kena undi aku dulu!” beserta tanda pagar #akusucidalamdebu, sindiran yang ditujukan kepada Rafizi.

Hantaran (posting) itu mengundang kritikan segelintir pelayar yang mengecam mantan Ahli Parlimen Pandan itu yang seolah-olah cuba memberi ‘dedak’ kepada ahli parti agar mengundi beliau.

Tidak kurang juga ada yang melabel Rafizi sebagai seorang yang ‘cakap tak serupa bikin’.

Pada pemilihan parti kali ini, Rafizi bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, mencabar penyandang, Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam hantaran yang berasingan, Latheefa turut  menyindir Rafizi yang didakwanya sengaja membangkitkan isu politik wang kerana menyedari dirinya akan kecundang di tangan Azmin.

“Hahaha – bila baby boy nak kalah- tetiba politik wang sangat serius, tapi bila nak menang PRK hari tu – takde pulak fikir benda2 tu..amacam?,” tulis Latheefa.

Rafizi baru-baru ini melahirkan kebimbangannya mengenai amalan politik wang yang berlaku secara berleluasa ketika musim pemilihan parti.

Dakwanya, perkara itu sudah dikesan berlaku di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan parti, dengan menambah, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Bagaimanapun semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Rashid Din mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai politik wang dalam pemilihan parti itu termasuk daripada Rafizi.

Menurut Rashid, setakat ini tiada aduan rasmi yang diterima jawatankuasa itu tetapi ada banyak cakap-cakap yang diterima Pengawas Pusat Pemilihan parti tetapi tanpa bukti dan mereka enggan membuat aduan rasmi.

Katanya, JPP tidak melayan aduan berdasarkan cakap-cakap kerana sukar untuk menyiasat perkara itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.