PPSPM Lapor Polis, Gesa Siasat Insiden Pelancong Mandi Bogel

MELAKA – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) hari ini membuat laporan polis agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap rakaman video sekumpulan pelancong dipercayai warga asing yang mandi dalam keadaan bogel di pesisiran Sungai Melaka yang tular dalam laman sosial sejak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata, pihaknya pada masa yang sama ingin menegaskan agensi terbabit tidak terlibat membenarkan apa-apa acara di pesisiran sungai berkenaan atau menganjurkan aktiviti seperti itu.

“PPSPM mendapat maklumat bahawa rakaman video itu yang memaparkan sekumpulan pelancong warga asing dipercayai dari Eropah dan berada di bawah pengaruh alkohol mandi tanpa sebarang pakaian di pesisir Sungai Melaka dan kejadian ini difahamkan berlaku pada 13 Oktober lalu.

“Berikutan itu pihak kami membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat kejadian tersebut dan ingin menafikan kejadian itu mendapat kebenaran PPSPM,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PPSPM di Banda Hilir di sini sebentar tadi.

Rakaman video yang tular itu berdurasi 15 saat memaparkan sekumpulan pelancong terdiri daripada lima individu termasuk wanita dalam keadaan bogel mandi simbahan minuman arak di kaki lima Sungai Melaka berhamnpiran sebuah kafe di Lorong Hang Jebat dan dipercayai dilakukan ketika mereka mabuk.

Video itu tular sejak petang semalam dan mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk mengecam tindakan PPSPM membenarkan kegiatan tersebut.

Menurut Azlan, ini merupakan kejadian pertama berlaku sejak beliau mengambil alih pengurusan PPSPM dan pihaknya akan meningkatkan kawalan dan rondaan bersama pihak berkuasa tempatan dan polis bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.

Malah katanya, pemilik kafe berkenaan turut memaklumkan bahawa pelancong itu bukan pelanggan mereka dan dipercayai singgah di premis itu sebelum bertindak sedemikian. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.