Posisi Zahid Sebagai Presiden Hanya Akan Dibincangkan Majlis Tertinggi UMNO Jika Ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi sekiranya beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Majlis Tertinggi akan bersidang jika Ahmad Zahid sendiri mengesahkan bahawa dia telah ditangkap agensi tersebut.

“Saya belum bercakap dengan Ahmad Zahid dan tidak dapat mengesahkan apa yang telah dilaporkan, saya hanya membaca apa yang dimaklumkan oleh Datuk Lokman Noor Adam di media sosial, kita akan tunggu dan lihat,” kata Mahdzir dipetik The Star Online.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Lokman berkata Ahmad Zahid dijangka akan ditahan SPRM petang esok (Khamis) sebelum dibawa ke mahkamah untuk didakwa pada Jumaat. 

Menurut Lokman yang juga Pengerusi Pemantau Malaysia Baharu, Ahmad Zahid telah diberikan notis serah diri pada jam 1.45 petang hari ini, yang memintanya menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya jam 3.00 petang esok. 

Sementara itu, veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau percaya penahanan tersebut tidak akan merosakkan kedudukan UMNO.

Tengku Razaleigh atau Ku Li juga berpendapat bahawa nasib Ahmad Zahid perlu diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

“Majlis Tertinggi mesti menimbang segala perkara yang timbul berikutan tindakan SPRM, saya fikir ia adalah lebih baik bagi kita untuk menunggu esok dan lihat apa hasilnya,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Ahmad Zahid yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri minggu lalu memberikan keterangan kepada SPRM selama tiga hari bermula 10 Oktober (Rabu). 

Ia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengenai penyelewengan dana Yayasan Akal Budi berjumlah RM800,000 yang dikatakan digunakan untuk membayar bil kad kredit.

Ahmad Zahid adalah pengerusi yayasan itu yang ditubuhkan oleh keluarganya untuk menjalankan kegiatan amal.

Untuk rekod, pada Julai lalu, Zahid memberi keterangan sebanyak dua kali kepada SPRM berhubung siasatan kes yang sama. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.