PAS Tetap Tentang Pesta Arak Walau Dianjur Secara Tertutup – Mahfodz

KUALA LUMPUR – PAS membantah sekeras-kerasnya program pesta arak seperti Oktoberfest walaupun ia dianjurkan di tempat yang tertutup.

Jelas Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed ia tetap simbolik kepada tidak menghormati sensitiviti umat Islam sekalipun tidak melibatkan umat itu.

“Ini kerana penganjuran atas jenama pesta sekalipun diadakan secara tertutup dan tidak melibatkan orang Islam adalah satu perkara yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini sebagai rakyat yang majoriti dan juga agama Islam itu sendiri sebagai agama rasmi persekutuan.

“Tidak kira apa syarat yang ditetapkan demi membolehkannya, ia tetap tidak boleh diterima,”tulisnya dalam Harakahdaily.

Tambah Mahfodz isu hak bukan Islam meminum arak berbeza dengan isu penganjuran acara berkaitan arak.

“(Hak non Muslim minum arak) bukanlah menjadi lesen sehingga boleh diadakan sesuatu program, pesta atau apa jua namanya yang melibatkan penganjuran berkaitan arak.

“Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat tetap bertegas dengan pendirian bahawa Oktoberfest ini tidak boleh dianjurkan dan mesti dibantah sekeras-kerasnya.

“Jika non muslim ingin minum arak, silakan di kediaman mereka tanpa mempromosinya dan tanpa membuat penganjuran pesta berskala besar,” ujarnya.

Terdahulu Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan PAS tidak menyokong penganjuran Oktoberfest sebaliknya mengancam untuk menganjurkan bantahan secara besar-besaran sekiranya berlaku huru-hara yang tercetus daripada pesta arak. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.