Najib Berdepan Dengan Lebih Banyak Pertuduhan

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka berhadapan dengan lebih banyak pertuduhan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh terdekat.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipetik daripada sebuah portal berita mengesahkan perkara berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Najib sebelum ini telah beberapa kali dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan SPRM, terkini beliau semalm turut memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya selama lebih 6 jam.

Pada 3 Oktober lepas, Najib memberi keterangan hampir 3 jam di Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, di Menara KPJ, Jalan Tun Razak.

Untuk rekod, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman sebelum ini dilaporkan akan memanggil semula Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berikutan pihak berkuasa memerlukan maklumat tambahan daripada pasangan terbabit untuk membantu siasatan.

Najib sebelum ini didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 3 pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 3 pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam 2 akaun miliknya, 4 tahun lepas.

Pada 20 Sept, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan 4 pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.