Lim Guan Eng Diberi Tempoh 24 Jam Jawab Isu Grab dan Teksi

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diberikan tempoh masa selama 24 jam bagi memberi maklum balas berhubung cadangan kerajaan untuk menggantikan bas-bas di stesen-stesen transit aliran ringan (LRT) dengan perkhidmatan Grab.

Penasihat syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, isu tersebut yang telah dibangkitkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua perlu diselesaikan segera bagi membela nasib pemandu-pemandu teksi.

“Kita hendak selesaikan masalah ini, kita tidak mahu bercakap dengan Tony dan orang lain kami nak cakap dengan menteri sahaja sebab isu ini dibawa oleh setiausaha politik beliau dan kami tidak tahu kenapa beliau lagi berkuasa daripada menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dengan wakil Kementerian Kewangan iaitu Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasinya, Suhaili Ahmad di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai kira-kira 300 pemandu teksi berdemonstrasi bagi membantah cadangan tersebut.

Menurut Shamsubahrin, pihaknya bimbang sekiranya Grab dibenarkan untuk menggantikan penggunaan bas di kawasan tersebut bakal menjejaskan periuk nasi pemandu teksi terutamanya yang mencari rezeki di stesen LRT. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.