Kerajaan Dakwa Kewangan Lemah Tapi Mahu Bina Jambatan Bengkok

JOHOR BAHRU – Cadangan membina semula projek pembinaan jambatan bengkok ke Singapura adalah memeranjatkan kerana kosnya kini meningkat tiga atau empat kali ganda daripada kos asal iaitu RM1.1 bilion pada 2003.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan perlu mempertimbang semula rancangan tersebut kerana projek mega itu bakal menelan belanja yang besar.

“Adalah memeranjatkan untuk sebuah projek mega pada skala yang sangat besar ini mahu dihidupkan semula sedangkan matlamat kerajaan kini adalah untuk menguruskan struktur fiskal negara dengan lebih baik terlebih dahulu.

“Justeru, tidak perlu untuk berbelanja secara tidak wajar dan terlibat dalam percaturan genting untuk membincangkan kebarangkalian menghidupkan semula projek ini semata-mata atas kepentingan politik.

“Sedangkan pembinaan kereta api laju yang akan memangkin pelbagai aktiviti ekonomi di wilayah selatan Malaysia ditangguhkan kerana kedudukan fiskal negara yang lemah. Jadi, mana mungkin Kerajaan mempertimbangkan untuk melabur wang secara besar-besaran dalam pembinaan jambatan bengkok,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Semalam Menteri Besar, Datuk Osman Sapian memaklumkan kerajaan negeri dalam usaha merealisasikan impian tertunda Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membina jambatan bengkok yang bakal menghubungkan Johor dengan Singapura.

Susulan itu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam akaun Twitternya meluahkan pendapat, kerajaan wajar mempertimbangkan pembinaan jambatan bengkok itu dan lebih baik menambah baik perkhidmatan kesihatan di negeri ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.