Keputusan Batalkan Jambatan Bengkok Dahulu Tepat – Khalid Nordin

JOHOR BAHRU: Keputusan membatalkan projek jambatan bengkok yang menghubungkan Johor dan Singapura sebelum ini adalah tepat untuk tidak akur kepada tuntutan timbal Singapura membabitkan penjualan pasir dan penggunaan ruang udara Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Mohamed Khaled Nordin kesal dengan pengumuman kerajaan yang akan mengadakan mesyuarat dengan Singapura untuk melihat kebarangkalian menjalankan semula projek itu.

Katanya, keseluruhan projek jambatan yang dihentikan pada 2006 juga dibuat susulan bantahan kuat negara berkenaan, selain dibuat selepas kejayaan Malaysia meneliti Wayleave Agreements, Perjanjian Air Singapura-Johor 1961 dan 1962, Perjanjian Pemisahan 1965 selain mengambil kira nasihat Pejabat Peguam Negara.

“Kerajaan sering menegaskan bahawa keputusannya adalah keputusan politik, yang bersandarkan sentimen, kedaulatan dan integriti rakyat Malaysia. Kesannya, Gerbang Perdana Sdn Bhd dibayar lebih daripada RM100 juta sebagai ganti rugi untuk menghentikan cadangan projek itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor, berkata cadangan membina semula projek pembinaan jambatan bengkok ke Singapura adalah memeranjatkan kerana kosnya kini meningkat tiga atau empat kali ganda daripada kos asal iaitu RM1.1 bilion pada 2003.

Beliau berkata projek itu dianggarkan menelan belanja sebanyak RM1.1 bilion pada 2003 dan mengikut kadar semasa, kos projek ini boleh mencecah sehingga tiga hingga empat kali ganda.

“Adalah memeranjatkan untuk sebuah projek mega pada skala yang sangat besar ini mahu dihidupkan semula sedangkan matlamat kerajaan kini adalah untuk menguruskan struktur fiskal negara dengan lebih baik terlebih dahulu.

“Justeru, adalah tidak perlu untuk berbelanja secara tidak wajar dan terbabit dalam percaturan genting untuk membincangkan kebarangkalian menghidupkan semula projek ini semata-mata atas kepentingan politik, sedangkan pembinaan kereta api laju yang akan memangkin pelbagai aktiviti ekonomi di wilayah selatan Malaysia ditangguhkan kerana kedudukan fiskal negara yang lemah.

“Jadi, mana mungkin kerajaan mempertimbangkan untuk melabur wang secara besar-besaran dalam pembinaan jambatan bengkok,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, negara memerlukan keutamaan yang lebih besar dalam projek infrastruktur yang membawa faedah kepada Johor dan Malaysia secara keseluruhannya, malah, projek infrastruktur yang berimpak besar seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3), East Coast Rail Link (ECRL), saluran paip gas asli Sabah juga sudah dibatalkan.

Katanya, jumlah dana yang sedemikian boleh diperuntukkan kepada pelbagai lagi projek pro rakyat yang lain, yang boleh meringankan beban kos sara hidup atau melonjakkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Sehubungan itu katanya, sekiranya perbincangan berkenaan pembinaan jambatan ini diteruskan, beliau menggesa kerajaan Johor untuk melakukan satu analisa faedah kos ke atas kesesuaian untuk menghidupkan semula projek itu.

“Kajian sedemikian juga mesti mempertimbangkan kesan ke atas kedaulatan negara memandangkan kita boleh menjangkakan bahawa Singapura akan menuntut satu timbal balik yang lebih besar susulan pelaksanaan semula jambatan ini, yang sudah pastinya akan memberi kesan yang jauh lebih kritikal kepada kedaulatan negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri atas dasar Malaysia Baharu, mestilah mempamerkan pendirian sendiri yang berasaskan keperluan dan kemahuan rakyat Johor, bukannya mengambil segala impian kerajaan Pusat dan menjadikannya sebagai agenda kerajaan negeri.

“Menteri Besar Johor (Datuk Osman Sapian) seharusnya menegaskan keperluan Johor yang lebih utama. Misalnya, pelebaran lebuh raya, pertambahan sekolah dan hospital besar serta inisiatif berfokus yang dapat membantu melindungi dan merancak masa depan komoditi sawit di Johor atau menyediakan jaringan keselamatan dan kebajikan sosial yang lebih pelbagai.

“Kesemua ini jauh lebih diperlukan oleh Johor berbanding menghidupkan kembali projek mega pembinaan sebuah jambatan bengkok yang kita sendiri batalkan sebelum ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.