Dr Mahathir Mahu Projek Jambatan Bengkok Dilaksanakan Semula – MB Johor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Johor dalam usaha merealisasikan impian tertunda Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membina jambatan bengkok yang bakal menghubungkan Johor dengan Singapura.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang mengatakan perancangan pembinaan jambatan berkenaan telah ditolak oleh dua perdana menteri terdahulu.

“Salah satu projek utama Dr Mahathir iaitu jambatan bengkok di Johor yang bersambung ke Singapura mungkin akan jadi kenyataan.

“Pembinaan jambatan bengkok itu telah ditolak dua Perdana Menteri sebelum ini, kini dalam perancangan semula selepas Dr Mahathir kembali memegang tampuk pemerintahan negara,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Osman berkata, jambatan bengkok itu kini dalam perancangan semula selepas saja Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri.

“Itu adalah kehendak Tun (Dr Mahathir) di mana dulu beliau suruh Tun Abdullah (Ahmad Badawi) tak mahu buat, (Datuk Seri) Najib (Razak) tak mahu buat.

“Sekarang, beliau jadi Perdana Menteri semula, pada mesyuarat Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar bulan lalu Dr Mahathir tanya sama ada Johor masih mahu jambatan bengkok itu.

“Saya kata terpulang Tun, ini idea Tun. Jika Tun mahu (jambatan) ini diteruskan saya hanya ikut la. Ia mempunyai banyak kebaikan,” kata Osman.

Berdasarkan perancangan, projek jambatan berbentuk S itu adalah lebuh raya enam lorong yang bertujuan menggantikan Tambak Johor.

Bagaimanapun, apabila Singapura tidak bersetuju, maka rancangan dibuat untuk membina hanya separuh jambatan itu dan menyambungnya dengan bahagian Singapura.

Jambatan bengkok diluluskan pada tahun terakhir kali pertama Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat, sebelum dibatalkan oleh pentadbiran Abdullah.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan pernah melobi Najib untuk membina jambatan itu tetapi tidak berjaya.

Sementara itu, Osman berkata Johor juga mempertimbangkan cadangan pembinaan jambatan ketiga ke Singapura.

Beliau berkata Mahathir bersetuju untuk memberikan bantuan persekutuan untuk membina jambatan ketiga itu.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi jambatan itu akan dibina untuk mengelakkan spekulasi hartanah. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.