Ada Ahli PKR Ditawar RM100 Untuk Setiap Undi Dalam Pemilihan – Rafizi

SEREMBAN – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa ahli parti itu ditawarkan wang tunai RM100 bagi setiap undi untuk calon tertentu dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung.

Calon Timbalan Presiden PKR itu berkata, perbuatan itu didakwa berlaku dalam pemilihan yang telah diadakan di enam negeri sejak 20 September lalu.

Rafizi berkata, beliau berasa sangat bimbang dengan perbuatan itu tetapi enggan mengesahkan sama ada ia terjadi dengan berleluasa.

“Tetapi saya tidak dapat kata sama ada ia serius atau tidak ke­rana perbuatan itu tidak pernah berlaku dalam sejarah PKR.

“Ada laporan mengatakan ahli ditawarkan RM100 untuk satu undi, saya sebut awal-awal kalau ada, tolak orang macam ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Amanat Rafizi Ramli Sempena Pemilihan PKR 2018 di Senawang dekat sini semalam.

Yang turut hadir, calon Naib Presiden, Datuk Johari Abdul dan calon Ketua AMK, Akmal Nasir.

Untuk rekod, pemilihan PKR sedang dilaksanakan bermula di Pulau Pinang pada 22 September lalu, Johor (30 September), Kelantan (5 Oktober), Pahang (6 Oktober), Wilayah Persekutuan (7 Oktober) dan sebahagian Selangor (Ahad lalu).

Berikutan itu, Rafizi menggesa ahli parti itu menolak mana-mana calon yang menawarkan wang untuk meraih undi dalam pemilihan PKR kali ini.

Sehingga kini, bagi saingan jawatan Timbalan Presiden, penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang mendahului dengan memperoleh 28,972 undi atau 50.65 peratus manakala Rafizi meraih 28,225 undi atau 49.35 peratus.

Rafizi memberitahu, beliau mengambil keputusan bertan­ding jawatan Timbalan Presiden PKR antaranya bertujuan membendung politik wang daripada terus menjadi budaya dan me­rebak dalam parti itu.

“Sekarang kita berada di ke­dudukan yang diuji dengan politik wang kerana akan ada pihak yang menawarkan wang sebab bila dah jadi kerajaan ramai pihak yang berduit ini akan berminat dengan parti kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.