Tony Fernandes Sangkal Dakwaan Kru Pesawat AirAsia Tidak Profesional

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menyangkal dakwaan bahawa kru dan juruterbang penerbangan QZ535 AirAsia Indonesia dari Perth ke Bali yang terpaksa berpatah balik berikutan masalah teknikal bersikap tidak profesional ketika berdepan dengan kecemasan, kelmarin.

Pemilik syarikat tambang murah terkenal itu berkata, kru kabin tidak menjerit kepada penumpang, sebaliknya memberitahu mereka supaya duduk dan memakai tali keledar keselamatan serta mendapatkan oksigen atas sebab-sebab keselamatan.

“Ia mengecewakan apabila media memutar belitkan cerita. Juruterbang dan kru kami melakukan kerja yang hebat. Pesawat kehilangan tekanan, yang mana ia berlaku kepada kebanyakkan pesawat,” demikian kata Tony menerusi entri di laman Twitternya, semalam.

Pesawat yang membawa 151 penumpang dan anak kapal itu terpaksa membuat pendaratan cemas akibat masalah tekanan udara kira-kira 25 minit selepas berlepas.

Walaupun kesemua mereka selamat, namun media antarabangsa yang memetik kenyataan beberapa penumpang dilaporkan mengutuk tingkah laku kru dan juruterbang semasa kejadian, yang didakwa tidak membantu, ada yang menangis serta menjadi punca ketakutan dalam kalangan penumpang.

Seorang penumpang Clare Askew memberitahu Seven News Australia, “Keadaan semakin panik apabila ada kru pesawat yang menjerit, terkejut dan ada yang kelihatan sedang menangis.”

Manakala ada penumpang lain mendakwa seorang anak kapal menjerit; “penumpang turun, turun.”

Mengulas mengenai perkara itu, Tony tetap mempertahankan tindakan kakitangannya dan memuji kecekapan juruterbang yang berjaya mengawal dan menerbangkan pesawat pada ketinggian yang selamat sebelum membuat pendaratan.

“Kekurangan tekanan gas berlaku. Saya berada di syarikat penerbangan lain ketika kejadian berlaku dan juruterbang juga melakukan tugas yang cemerlang dan terlatih,” katanya.

Pada Jun lalu, Tony turut menyokong tindakan juruterbang AirAsia X meminta penumpang yang dalam perjalanan dari Perth ke Kuala Lumpur supaya berdoa selepas pesawat tersebut menghadapi masalah enjin menyebabkan pesawat bergetar seolah penumpang berada dalam “mesin basuh”. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.