SKMM Pertimbang Perkenal Platform Digital ID Bagi Orang Ramai

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang mengkaji kemungkinan untuk memperkenalkan platform Digital ID yang selamat untuk digunakan oleh orang ramai dan sektor swasta bagi meningkatkan kepercayaan, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Halim Shafie.

Beliau berkata langkah tersebut penting, terutamanya bagi urus niaga yang memerlukan tahap privasi dan jaminan keselamatan yang tinggi seperti yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan kewangan.

Katanya Kajian Pengguna Internet SKMM yang dijalankan pada 2016 mendedahkan hanya 36 peratus daripada mereka yang ditemu bual menggunakan perkhidmatan e-perbankan, menambah bahawa kebimbangan mengenai keselamatan menjadi antara sebab bagi peratusan yang agak rendah ini.

“Kami percaya kunci kepada peningkatan penggunaan perkhidmatan digital adalah melalui peningkatan kepercayaan dan menguatkuasakan keselamatan siber. Terdapat hubungan yang mudah antara keselamatan siber, kepercayaan dan ekonomi digital,” katanya pada pra pelancaran Malaysia FinTech Awards 2018 di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya hari ini.

Beliau berkata Malaysia FinTech Awards 2018 merupakan majlis anugerah perniagaan teknologi pertama yang mengiktiraf pencapaian syarikat-syarikat teknologi kewangan paling inovatif di Malaysia.

Acara itu, yang dijadualkan diadakan pada 8 Mac, 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, akan turut mengadakan forum mengenai trend pasaran dan isu-isu dalam industri teknologi kewangan, katanya.

Halim berkata antara kategori yang dipertandingkan ialah FinTech Personality of The Year, FinTech Start-Up of The Year, FinTech Innovation of The Year, Prominent Banking Applications of The Year, dan FinTech Company of The Year.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Dinamik, Datuk Rosthman Ibrahim, berkata Malaysia FinTech Awards 2018 akan membuka peluang kepada semua usahawan untuk mengembangkan rangkaian dan perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas.

 

Malaysia Fintech Awards 2018 dianjurkan oleh Persatuan Usahawan Dinamik di bawah naungan SKMM, katanya.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.