Polis Tahan Tiga Lelaki Rancang Bom Pesta Arak Di Lembah Klang

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan enam yang disyaki merancang untuk mengebom ‘Better Beer Festival 2017’ di Lembah Klang, ditahan dalam serbuan di Kelantan, 10 Oktober lalu.

Suspek masing-masing berusia 19, 25 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah restoran di Pasir Puteh, Kelantan oleh Bahagian Antipengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, susulan maklumat perisikan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun, berkata dua lagi adalah seorang bekas anggota Tentera Darat (TD) yang juga buruh binaan dan seorang kontraktor binaan.

“Susulan tangkapan itu, kita melakukan pemeriksaan dan merampas bahan letupan (IED) di rumah dua daripada suspek.

“Ketiga-tiganya didapati melakukan ujian letupan di satu kawasan lapang menggunakan pelbagai bahan untuk membuat bom pada 28 September lalu,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, kontraktor binaan yang ditahan berasal dari Pengkalan Hulu, Perak, dikesan mempunyai jaringan hubungan dengan pengganas, Mohammad Wanndy Mohamad Jedi dan Akel Zainal yang kini berada di Syria.

“Kita menyiasat sama ada perancangan mengebom festival bir dan pusat hiburan serta rumah ibadat bukan Islam sekitar Lembah Klang diberi oleh rangkaian Daesh di Syria.

“Penangkapan ini membuktikan tohmahan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebarkan maklumat mengenai ancaman serangan festival arak adalah tidak benar,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.