Pendaki Gunung Tahan Sakit 10 Jam

DUNGUN – Seorang peserta yang cedera ketika menyertai aktiviti pendakian Gunung Berembun di Hutan Lipur Chemerong, Pasir Raja dekat sini semalam terpaksa menahan kesakitan hampir 10 jam sebelum berjaya dibawa turun ke kaki gunung tersebut oleh sepasukan anggota penyelamat.

Difahamkan mangsa yang cedera, Syed Md. Farid Farahan Syed Nasser, 24, dari Batu Caves, Selangor itu menyertai aktiviti berkenaan sejak Jumaat lalu sebelum mengalami kecederaan pada lutut kiri akibat terjatuh di kawasan Lata Langsir, lapor Kosmo.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.20 tengah hari semalam daripada seorang penunjuk arah.

“Sebaik menerima laporan, seramai sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah, enam anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta dibantu dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

“Kira-kira pukul 6.45 petang, kami terima laporan bahawa mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil sebelum pasukan penyelamat mula membawanya turun pada pukul 8.15 malam dan tiba di kaki gunung tiga jam kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.