Korea Selatan Perangi Jenayah Seksual Online

Golongan wanita di Korea Selatan baru-baru ini melakukan protes yang mendesak YouTube, Google, Facebook dan Twitter untuk memerangi jenayah seksual alam maya.

Menurut AFP, sejak enam tahun lalu, Tony Kim, 27, telah dibayar untuk menyaksikan pornografi, menghabiskan hari-harinya dengan mengamati video wanita berbogel dan kandungan seksual lain, lapor Kosmo.

Dia merupakan sebahagian daripada gerakan antidendam porno di Seoul, Korea Selatan.

Tugasnya ialah untuk mencari gambar seksual peribadi yang dimuat naik ke dalam laman web tanpa kebenaran dan segera membuangnya.

Pada awalnya, Tony memohon pekerjaan di syarikat yang dikenali Santa Cruise dan memperkasa peranan berkenaan walaupun berasa sedikit janggal.

“Menceburi bidang ini pada awalnya membuatkan saya rasa tidak selesa lebih-lebih lagi menonton video sedemikian sepanjang hari, siang dan malam.

“Namun lama-kelamaan saya sudah terbiasa dan tidak berasa apa-apa pun. Saya anggap ia sebagai sebuah karier,” ujarnya.

Perniagaan tersebut merupakan sebahagian daripada pembasmian jenayah seksual di Korea Selatan yang merupakan sebuah negara yang budayanya masih lagi menjadikan wanita sebagai objek seks.

Santa Cruise diasaskan oleh Kim Ho-Jin pada tahun 2008 merupakan pakar dalam menghapus kandungan dan khabar angin berniat jahat termasuk informasi berkenaan firma serta selebriti tempatan.

Meskipun begitu, jelas Ho-Jin, sejak kebelakangan ini munculnya klien jenis baharu terdiri daripada golongan wanita.

Klien tersebut memiliki video atau gambar berunsur seks yang kemudiannya dimuat naik secara online tanpa kebenaran oleh bekas teman lelaki atau suami.

“Kami sentiasa memantau kandungan porno, jaringan rakan kepada rakan dan media sosial setiap masa kerana video yang tersebar itu boleh muncul pada bila-bila masa sepanjang tahun,” katanya.

Istilah dendam porno merupakan suatu fenomena global.

Satu kajian telah dilakukan oleh pihaknya menunjukkan dua peratus rakyat Amerika Syarikat yang menggunakan internet pernah berhadapan dengan serangan balas dendam porno di media sosial seperti Facebook.

Memalukan

Bahkan di Korea Selatan, sebanyak 7,325 permohonan untuk menghapus kandungan video intim di internet telah dilaporkan pada tahun lalu dan dijangka meningkat sebanyak tujuh kali ganda dalam masa empat tahun lagi.

Ia termasuk rakaman tersembunyi pihak tidak bertanggungjawab menggunakan gajet atau telefon pintar untuk merakam wanita dalam bilik persalinan atau tandas awam.

Oleh yang demikian, Seoul baru-baru ini mengumumkan polisi pakej pembasmian jenayah seksual online termasuk pelan untuk mengenakan hukuman penjara minimum ke atas pesalah berkenaan.

Ho-Jin menjelaskan lagi, kebanyakan pelaku terdiri daripada golongan remaja lelaki lingkungan 20-an yang mahu melihat gadis cantik atau popular diseksa dan dimalukan di alam maya.

Ia bukan sahaja memalukan golongan wanita malah memberi kesan negatif secara keseluruhan terhadap golongan tersebut.

Malah, terdapat mangsa yang terpaksa berhenti kerja dan memutuskan hubungan dengan seluruh rakan termasuk keluarga selepas video intim milik mereka tersebar.

Sementara itu, menurut Ketua Kumpulan Kempen, Seo Lang, golongan wanita yang berhadapan dengan masalah tersebut akan melalui stigma sosial yang berat.

“Ditambah pula dengan kekurangan anggota polis daripada unit jenayah siber malah pihak polis juga lebih kerap menuding jari kepada mangsa kerana beranggapan mereka tidak berperangai senonoh.

“Disebabkan itu, kehidupan golongan wanita sangat mudah untuk dihancurkan,” tegasnya.

Menurut kajian yang dilakukan Pertubuhan Peguam Wanita Korea, sehingga kini enam peratus sahaja hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas individu tidak bertanggungjawab yang memuat naik gambar tersebut manakala 65 peratus pesalah dikenakan hukuman denda.

Difahamkan, individu yang memuat naik video intim di internet hanya dikenakan AS$900 (RM3,794) manakala laman web yang memaparkannya dikenakan penalti AS$1,800 (RM7,589).

“Walaupun dikenakan denda yang tinggi, laman web ini tidak akan berubah kerana mereka meraih keuntungan yang besar setiap bulan menerusi pengiklanan dan penyebaran video itu,” tambahnya.

Selain itu, video tersebut juga digunakan bagi tujuan pengiklanan aktiviti persundalan haram di Korea Selatan.

Dianggarkan seramai 140 wanita akan mendaftarkan diri untuk perkhidmatan Santa Cruise setiap bulan.

Apabila Santa Cruise menemui video berkenaan, firma tersebut akan menghubungi operator laman web seperti media sosial berbanding hab perkongsian pornografi untuk diberikan amaran dan menutupnya serta-merta.

Sekiranya mereka tidak memberikan respons, pihak Santa Cruise akan mengarahkan pengendali internet Seoul untuk menyekat akses kandungan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.