Kesultanan Selangor Asal Bugis, Mahathir Perlu Minta Maaf Sebut “Lanun Bugis”

Kenyataan berbaur perkauman oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut “lanun Bugis” bukan sahaja mempersendakan keturunan berkenaan, tetapi mencerca salasilah Kesultanan Selangor.

Bekas Presiden Persatuan Komuniti Bugis Sabah, Datuk Osman Jamal berkata, Bugis memainkan peranan langsung dalam sejarah awal Tanah melayu dan Raja Ali, anak Daeng Chelak Raja Lumu dari keturunan Bugis telah dinobatkan sebagai Sultan Selangor yang pertama.

“Saya sudah melihat video ucapan itu. Sebagai seorang Melayu keturunan Bugis, kenyataan itu sangat mengecewakan. Beliau sendiri selalu mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa hormat menghormati antara satu bangsa dengan yang lain”.

“Malah, tindakan menghina bangsa seorang pemimpin tidak harus dilakukan demi perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Jika beliau enggan memohon maaf, maka segala rasa hormat kami kepada beliau sudah tiada,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Dr Mahathir semasa Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur, Sabtu lepas menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘lanun Bugis’.

Mahathir berkata “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis.”

Kata Osman, kenyataan jengkel bekas Perdana Menteri itu adalah yang terburuk pernah dinyatakannya, bukan sahaja menghina Perdana Menteri tetapi juga Raja-Raja Melayu.

“Mahathir sudah melakukan perbuatan paling teruk dalam sejarah politik beliau apabila kini sudah mengutuk dan mengejek keturunan seseorang apatah lagi keturunan seorang Perdana Menteri dan Raja Raja Melayu. Tindakan Mahathir ini dilihat cukup rasis sekali,” ujarnya.

Dalam pada itu, Persatuan Bugis Johor sudah membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir diatas ucapannya itu.

“Kita mengutuk kenyataan biadap Tun Dr Mahathir yang menyebut Bugis itu lanun. Kita sudah membuat dua laporan polis dan akan diikuti beberapa laporan lagi supaya Tun Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka,” kata Yang Dipertua Persatuan, Datuk Awang Mohamad.

Dalam laporannya, beliau berkata, Dr Mahathir dan pakatan pembangkang perlu segera memohon maaf kepada masyarakat keturunan Bugis di negara ini.

“Ucapan Tun Dr Mahathir bukan ucapan seorang negarawan yang ingin mewujudkan keharmonjan dan keamanan dalam negara.

“Bahkan beberapa sultan di Malaysia juga berketurunan Bugis.

“Saya menyeru pihak berkuasa untuk menahan Tun Dr Mahathir mengikut Akta Hasutan demi keharmonian dan keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya.

Pentas himpunan yang dibarisi pemimpin-pemimpin dari Pakatan Harapan itu menjadi medan mencaci dan memaki hamun Najib.

Selain Dr Mahathir menyebut ‘lanun Bugis’, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam pada itu menyifatkan Perdana Menteri sudah gila. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.