Ayda Penuhi Impian Peminat Cilik

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat menangguhkan perjalanan pulang dari Singapura, demi memenuhi impian peminat cilik yang terlantar di sebuah hospital di republik itu.

Ayda memberitahu, ketika bersiap untuk berangkat ke Kuala Lumpur, pagi tadi, dia menerima mesej melalui Instagram daripada seorang wanita yang memberitahu anak saudaranya, Hanez Nabila yang berusia lima tahun, berhajat bertemu dengannya.

“Saya terharu dan sebak sebaik melihat gambar Hanez yang sedang berada dalam wad kerana menjalani rawatan akibat kegagalan hatinya berfungsi.

“Saya bersetuju melawat Hanez kerana dia mahu berjumpa saya. Hanez selalu mendengar lagu saya sambil menari,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Pencuri Hati itu mengaku biarpun sebak, dia menyembunyikan perasaan sebaik bertentang mata dengan Hanez.

Ayda sempat meluangkan masa lebih setengah jam bersama Hanez di hospital. – Foto Ayda
Ayda meluangkan masa lebih 30 minit melayan Hanez dan menyanyikan lagu Nakal Nakal Nakal serta menari di hadapan kanak-kanak itu.

“Walaupun tidak sihat dengan wayar berselirat pada badan dan muka, Hanez tetap senyum dan bersembang dengan saya,” katanya.

Ayda juga terharu apabila dimaklumkan Hanez kerap menonton klip video lagunya sejak berusia tiga tahun dan sebelum ini pernah beberapa kali menyatakan hasrat mahu bertemu.

Ayda berada di Singapura bagi membuat persembahan pada Anugerah Planet Muzik 2017, malam tadi. Pada acara itu, Ayda diumumkan pemenang anugerah Ikon Media Sosial.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.