Trump Minta Clinton Ambil Ujian Dadah Sebelum Debat

WASHINGTON – Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump kelmarin meminta lawannya, Hillary Clinton supaya menjalani ujian dadah sebelum mereka bertemu dalam debat Presiden pusingan ketiga minggu ini.

 

“Saya fikir kami perlu menjalani ujian dadah sebelum debat ini,” kata Trump dalam satu rapat umum di New Hampshire sebelum menambah tentang Clinton: “Saya tidak tahu apa yang tidak kena dengan beliau,”.

 

Trump, 70, membayangkan bahawa Clinton memulakan debat kali terakhir pada minggu lalu dengan ‘begitu bertenaga’ kerana pengaruh dadah ekoran beliau kelihatan amat lemah untuk menuju ke keretanya selepas perbahasan selama 90 minit itu.

 

Taikun hartanah itu bagaimanapun tidak mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya. Trump sebelum ini berulang kali sangsi dengan keadaan kesihatan Clinto. Beliau mempersoalkan stamina calon Parti Demokrat itu dan merujuk kepada insiden wanita itu diserang radang paru-paru baru-baru ini.

 

Trump dan Clinton akan bertemu dalam debat terakhir mereka pada Rabu ini pilihan raya Presiden AS pada 8 November depan.

 

Sementara itu, populariti Trump menurun dalam tinjauan pendapat terbaharu sejak beliau menunjukkan prestasi hambar semasa debat Presiden pertama disusuli kontroversi tentang klip video pada 2005 yang memaparkan beliau bercakap lucah tentang wanita.

 

Keadaan menjadi lebih buruk buat Trump selepas beberapa wanita mendakwa menjadi mangsa cabul ahli politik itu. Trump bagaimanapun menafikan kesemua dakwaan terhadapnya.

 

“Tiada apa yang berlaku kepada semua wanita ini. Semua cerita tidak munasabah ini direka-reka untuk mencuri sokongan menjelang pilihan raya. Tiada siapa yang menghormati wanita lebih daripada saya,” kata Trump dalam satu kenyataan di laman Twitter. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.