Mastura, Budiman Angkat Sumpah Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi hari ini mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat.

 

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sejurus bermulanya Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen Ke-13.

 

Mastura dan Budiman menang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada Jun lalu.

 

Kedua-dua kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei lalu.

 

Menjadi tumpuan pada hari pertama mesyuarat hari ini adalah pertukaran kedudukan beberapa Ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking.

 

Selain itu, sidang kali ini bakal menyaksikan pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2017 itu akan berlangsung pada 4 petang, 21 Okt sebelum perbahasan di peringkat dasar dan jawatankuasa yang dijadual berlangsung sehingga minggu keenam.

 

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 itu akan turut menyaksikan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) dibaca buat kali pertama iaitu RUU Bank Pelaburan Infrastruktur Asia 2016; RUU Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2016; RUU Undang-Undang Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016 dan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2016.

 

Adalah Difahamkan RUU Persendirian, iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (RUU 355) turut tersenarai dalam Aturan Mesyuarat kali ini. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.