Jambatan Gantung Runtuh Ragut Lebih 10 Nyawa

JAKARTA – Lebih 10 orang dipercayai maut manakala 30 orang disahkan cedera parah ketika insiden sebuah jambatan gantung yang dikenali sebagai Jambatan Kuning di Bali runtuh malam tadi.

 

Jambatan itu  menghubungkan Pulau Nusa Ceningan dan Nusa Penida iaitu pulau-pulau kecil di sekitar Bali merupakan daya tarikan pelancong.

 

Media-media dalam talian memetik Ketua Pusat Data, Informasi Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho sebagai berkata, jambatan gantung itu terputus akibat lebih muatan kerana ramai penduduk sibuk melintasi jambatan pada waktu itu.

 

Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 7 malam itu dan pada ketika itu ramai penduduk sedang melakukan upacara keagamaan di Pura Bakung Ceningan bagi menyambut Hari Nyepi Segara dan mereka tidak menjalankan sebarang aktiviti laut.

 

Dalam pada itu, Satupo berkata sebanyak sembilan mayat telah ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada pukul 8 malam tadi kerana keadaan gelap dan disambung semula 6 pagi ini.

 

Tambah beliau lagi, sebanyak 34 mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat berhampiran.

 

“Berdasarkan laporan awal, semua korban adalah masyarakat tempatan, tidak ada warga asing,” katanya.

 

Menurut kenyataan seorang saksi, ketika insiden berlaku terdapat kira-kira 100 orang sedang melintasi jambatan itu dan ia dilihat bergoyang-goyang sebelum kabel penggantungnya terputus.

 

“Ramai yang terjatuh ke dalam laut termasuk kanak-kanak dan ada juga yang sempat berenang dan terselamat,” katanya.

 

Titi kayu jambatan yang dibina pada tahun 1990-an itu sebelum ini dikatakan mengalami kerosakan dan penduduk tempatan telah meletakkan papan tanda amaran mengenai kerosakan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.