Hukuman Gantung Setahun Kepada Pembuli Terlalu Lama

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan bahawa penggantungan kepada pembuli selama satu tahun adalah terlalu panjang dan membawa kepada pelbagai implikasi.

 

Menurut beliau, tempoh penggantungan itu perlulah di pendekkan kepada 3 bulan sahaja.

 

“Dalam masa (penggantungan) setahun ini apa yang akan berlaku kepada pelajar berkenaan? Siapa yang akan bertanggungjawab menjaga mereka?

 

“Saya rasa hal ini tentu akan menyusahkan ibu bapa serta mendatangkan implikasi kepada pelbagai pihak lain termasuk agensi kerajaan dan pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama.

 

Menurut Lam Thye, penggantungan selama setahun bukanlah satu solusi terbaik dan kurang berkesan.

 

“Kalau kita hendak tangani isu buli ini, penggantungan sekolah bukan satu penyelesaian. Saya rasa lebih penting untuk kita perkukuhkan tahap disiplin di sekolah pada setiap masa,” katanya.

 

Tambah beliau lagi, pelajar yang cenderung melakukan tindakan buli perlu dikenal pasti supaya mereka dapat menjalani kaunseling khas.

 

“Kalau kita hendak mengubati sesuatu penyakit (buli), kita mesti tahu tanda-tanda (simptom) atau puncanya. Jika punca tidak dapat kita atasi, kes buli ini tidak akan dapat kita selesaikan,” katanya.

 

Terdahulu, cadangan tersebut telah dibuat oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid bagi memastikan tindakan tegas akan diambil ke atas pembuli dan sebagai pengajaran kepada pelajar-pelajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.