Batu Jed Gergasi Ditemui Bernilai RM718 Juta

YANGON – Penemuan seketul batu jed gergasi berukuran lebih lima meter panjang dan tiga meter tinggi oleh sekumpulan pekerja lombong ketika menjalankan kerja-kerja menggali di Kachin, Myanmar, baru-baru ini.

 

Batu seberat 175 tan itu dipercayai bernilai sehingga 140 juta pound (RM718 juta) jika dijual di pasaran semasa.

 

Penemuan batu jed gergasi tersebut mendapat liputan me­luas di negara ini sehingga menarik minat ahli politik tempatan, U Tint Soe untuk bergambar de­ngan permata yang sangat bernilai itu.

 

“Saiznya sebesar dua buah rumah kecil yang berukuran tiga meter persegi dan saya anggap penemuan ini umpama hadiah yang tidak ternilai kepada rakyat, kerajaan serta parti yang meme­rintah negara ini,” katanya, lapor Mail Online.

 

Pelombong, Sao Min pula ber­kata, dia dan rakan-rakannya tidak menyangka akan terjumpa batu berharga itu.

 

“Kami tahu batu jed itu kepunyaan negara dan penemuan ini bagaikan satu penghormatan buat pemimpin kami,” ujarnya.

 

Difahamkan, batu jed yang berwarna kehijau-hijauan selepas digilap dan dibersihkan itu merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Jade Buddha Palace dijumpai di China dengan berat kira-kira 260 tan.

 

Myanmar sememangnya ter­kenal sebagai pengeluar batu jed terbesar di dunia dan industri itu menyumbang AS$50 bilion (RM210.3 bilion) setahun iaitu separuh daripada hasil Keluaran Dalam Negara (KDNK) negara.

 

Harga borong batu jed kebiasaannya boleh mencecah RM5,894 sekilogram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.