Agenda Pembangunan Luar Bandar Tetap Diteruskan – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji kerajaan tidak akan meminggirkan penduduk luar bandar walaupun peratus populasi penduduk di kawasan tersebut semakin menguncup.

 

Perdana Menteri berkata, sehingga kini 25.7 peratus penduduk Malaysia atau seramai 7.82 juta rakyat tinggal di luar bandar dan kerajaan pimpinan beliau akan memastikan agenda pembangunan luar bandar tetap diteruskan bagi membolehkan keadaan ekonomi luar bandar dan bandar seimbang.

 

“Sama ada mereka yang tinggal di Ulu Jerantut, Ulu Selangor atau tidak kira di mana, kita akan pastikan penyampaian projek kerajaan dapat dirasai oleh semua masyarakat luar bandar.

 

“Sebab itu dari segi peruntukan kerajaan memang akan meneruskannya walau dalam apa juga keadaan biarpun harga minyak menyusut. Ia tidak menggagalkan usaha kita untuk membantu masyarakat luar bandar,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) Peringkat Kebangsaan 2015 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dekat sini semalam.

 

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi empat kategori yang dipertandingkan iaitu Kampung Tradisional, Rumah Panjang, Kampung Baru Cina dan Kampung Orang Asli.

 

Bagi kategori Kampung Tradisional, Kampung Parit Tengah, Muar, Johor muncul juara manakala kategori Kampung Orang Asli (Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sepang Selangor); kategori Kampung Baru Cina (Kampung Baru Kangkar Bahru, Batu Pahat, Johor) dan kategori rumah panjang (Rumah Bihai, Mukah, Sarawak).

 

Menurut Najib, kerajaan juga telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan negara iaitu daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada 0.6 peratus (2014).

 

“Setelah agenda membasmi kemiskinan sudah hampir selesai, kita akan pastikan pendapatan luar bandar akan lebih tinggi selaras dengan kemajuan ekonomi negara.

 

“Pembangunan luar bandar yang lebih seimbang juga antara objektif kerajaan yang mana tidak ada kelompok masyarakat dan individu yang tidak disentuh melalui pembangunan disediakan oleh kerajaan,” jelasnya.

 

Sementara itu Najib berkata, beliau bangga apabila program ADS1M menjadi kenyataan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat luar bandar.

 

“Kejayaan pelaksanaan program ini menunjukkan bahawa masyarakat luar bandar juga tidak mahu ketinggalan daripada menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama membangunkan kawasan luar bandar,” jelasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.