MB Pahang Sedia Bincang Projek Penyaluran Air Mentah Dengan MB Selangor

Kuantan – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata beliau sedia berbincang dengan Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali berhubung projek penyaluran air mentah dari negeri ini ke Selangor.

Beliau berharap pertemuan itu dapat memastikan kelancaran projek berkenaan kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat.

“Saya tiada masalah untuk mengadakan pertemuan dengan beliau (Azmin) dan kalau boleh kita akan bincang pelbagai perkara dalam pertemuan itu nanti.

“Apa yang penting, kita ingin memastikan kepentingan rakyat di kedua-dua negeri terjamin dan tiada masalah lain timbul,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Bulan Bahasa Kebangsaan dan Karnival Bahasa Jiwa Bangsa 2014 peringkat Pahang di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang di sini hari ini.

Adnan diminta mengulas permohonan kerajaan negeri Selangor yang mahu Kerajaan Persekutuan mendedahkan perjanjian penstrukturan semula industri air negeri itu yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kepada umum.

Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata pihaknya pernah mencadangkan kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya semua perjanjian yang ditandatangani kerajaan negeri tidak tertakluk kepada OSA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.