Dipilih Anggotai UNSC, Kejayaan Besar Kepada Negara – Muhyiddin

Kuala Lumpur – Pemilihan Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) merupakan satu kejayaan besar untuk negara yang perlu dibanggakan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebagai anggota tidak tetap UNSC, Malaysia berpeluang terlibat secara langsung dalam usaha memelihara keamanan dan keselamatan sejagat serta mengetengahkan nilai dan prinsip negara dalam arena diplomasi antarabangsa.

“Jumlah undian yang diperoleh adalah satu pengiktirafan terhadap Malaysia sebagai negara yang berwibawa dalam melaksanakan tanggungjawab di peringkat antarabangsa.

“Sokongan padu yang diperoleh juga memberi landasan yang kukuh kepada Malaysia untuk melaksanakan tugasnya secara berkesan sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB”, katanya.

Malaysia memperoleh 187 daripada 192 jumlah undi dalam proses pemilihan yang berlangsung di dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.

Malaysia pernah menjadi anggota tidak tetap UNSC sebanyak tiga kali iaitu pada 1965, 1989 hingga 1990 dan bagi tempoh 1999 hingga 2000.

Pelantikan Malaysia menganggotai majlis keselamatan itu berkuat kuasa 1 Jan 2015 hingga 31 Dis 2016.

Muhyiddin, mewakili jemaah menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerajui inisiatif bagi memastikan negara terpilih.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman serta semua pihak yang terlibat dalam melobi pencalonan Malaysia ke Majlis Keselamatan PBB.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.