115 Sekolah Di Selangor Ditutup Esok Kerana Jerebu

KUALA LUMPUR – Sebanyak 115 sekolah membabitkan 113,699 pelajar di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam, akan ditutup esok kerana keadaan jerebu.

Kementerian Pendidikan memaklumkan penutupan sekolah berkenaan dibuat berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Stesen Johan Setia, Nilai dan Seri Manjung merekodkan bacaan melebihi 200.

Bagaimanapun, berikutan bacaan IPU Stesen Putrajaya pada jam 4 petang tadi yang menunjukkan bacaan bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun, semua sekolah di bawah PPD Sepang, Hulu Langat dan Petaling Perdana yang merujuk bacaan IPU Stesen Putrajaya akan kembali beroperasi seperti biasa esok.

Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.

Hari ini, sebanyak 648 sekolah di seluruh negara ditutup berikutan keadaan jerebu yang membabitkan keseluruhan 445,249 pelajar, selain 12 sekolah swasta ditutup membabitkan 7,432 pelajar.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan pihak pentadbiran sekolah di negeri itu yang memerlukan penutup muka, boleh mendapatkannya di semua pejabat daerah dan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Katanya, setakat ini sejumlah 500,000 unit penutup muka diterima dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sudah diedarkan ke sekolah sekitar negeri ini menerusi PPD.

“Pihak sekolah yang memerlukan penutup muka untuk pelajar susulan keadaan jerebu yang melanda negara, boleh berbuat demikian dengan berhubung dengan pejabat daerah dan pejabat ADUN,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.