Tiga Beradik Kembali Ke Sekolah

GUA MUSANG: Kesedihan tiga beradik kerana terpaksa berhenti sekolah akibat kemiskinan keluarga, berakhir hari ini apabila mereka kembali semula ke sekolah.

Nur Aidil Balqis Abdul Rahman, 13, memulakan pembelajaran hari ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Wangi, manakala adiknya Nur Alia Adila, 11 dan Nur Alia Apira, 9, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis.

Ketiga-tiga mereka dari Kampung Panggong Lalat, di sini, dibenarkan tinggal di asrama di sekolah berkenaan bagi menjimatkan perbelanjaan keluarga termasuk kos pengangkutan dan makan.

Ketika ditemui di rumahnya, Nur Aidil Balqis mengakui amat gembira apabila Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengurus persekolahan mereka semula.

Nur Aidil Balqis berkata, dia dan adiknya gembira kerana dapat bersekolah semula dan tidak lagi rasa terasing apabila kawan sebaya lain pergi ke sekolah.

“Kami melapor diri di sekolah pada Rabu lalu dan memulakan pengajian sepenuhnya hari ini,” katanya.

Tiga beradik itu sebelum ini bersekolah di SK Pengkalan Kubur, Tumpat dan terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan keluarga sebelum berpindah ke Kampung Panggong Lalat pada April tahun lalu.

Ibunya, Zuraini Mat Rani, 31, berkata, banyak sumbangan diterima daripada orang ramai yang prihatin dengan nasib tiga anaknya yang tidak bersekolah.

Katanya, wang yang diterima daripada penderma itu akan dibelanjakan untuk persekolahan tiga anaknya hingga mencapai kejayaan.

“Saya amat terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak hingga tiga anak saya dapat meneruskan persekolahan semula,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.