Syamsul Bersyukur Filem Munafik 2 Cipta Rekod Kutipan RM40 Juta

KUALA LUMPUR ― Filem seram berunsur agama Munafik 2 terus mencipta fenomena baru apabila mengutip RM40 juta dalam tiga minggu.

Jumlah kutipan luar biasa ini, dalam tempoh 17 hari, sekali gus mencatat rekod perfileman tempatan setelah kejayaan Hantu Kak Limah dengan kutipan RM35 juta.

“Suatu fenomena luar biasa sinema Malaysia. Alhamdulillah!” kata pengarahnya Syamsul Yusof sewaktu berkongsi berita baik itu di Twitter semalam.

Tanda-tanda kebangkitan filem tempatan tahun ini dimulakan dengan filem seram komedi arahan Mamat Khalid itu tetapi Munafik 2 lebih pantas.

Filem Munafik 2 meraih RM21.6 juta, mengatasi kutipan Hantu Kak Limah RM6.45 juta, dalam tempoh empat hari tayangan.

Mengumumkan rekod itu awal bulan ini, Syamsul berkata kutipan itu tertinggi dalam sejarah filem tempatan bagi minggu pembukaan.

“Sejarah terus tercipta. Alhamdulillah dan terima kasih semua. Majulah industri filem Malaysia,” katanya ringkas di Instagram.

Sebelum ini anak pengarah dan penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam itu tergamam apabila filemnya mengutip RM30 juta dalam tempoh 10 hari.

Ditayangkan 30 Ogos lalu, ia mendapat kutipan RM2.05 juta pada tayangan awal sehari sebelumnya termasuk di Brunei dan Singapura.

Filem terbitan Skop Productions dibintangi Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali, Mawi dan Syamsul sendiri. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.