Royalti 20 Peratus Merugikan Petronas, 5 Peratus Royalti Perlu Dikaji Semula – Mahathir

KOTA KINABALU – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus berdolak-dalik berhubung isu royalti kepada negeri pengeluar minyak dengan menegaskan penunaian janji manifesto Pakatan Harapan (PH) akan memberi kesan buruk kepada Petronas.

Dr Mahathir memberitahu pemberita hari ini kerajaan pusat bimbang janji itu hanya akan meningkatkan kos operasi Petronas menyebabkan syarikat itu kehabisan wang.

Manifesto PH berjanji menambah bayaran royalti kepada negeri pengeluar minyak iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu daripada 5% kepada 20%.

“Petronas adalah sebuah syarikat yang unik kerana ia merupakan satu-satunya syarikat milik kerajaan yang terlibat dalam eksplorasi, pembangunan, pengeluaran dan petrokimia.

“Orang dari seluruh dunia meminta Petronas bekerja di negara mereka, jadi jika Petronas hanya mengutip royalti, kita akan rugi banyak. Kita perlu pertahankan kekuatan Petronas,” katanya.

Pada masa sama Dr Mahathir berkata, bayaran tunai 5% kepada negeri pengeluar minyak perlu dikaji semula.

Beliau bagaimanapun berkata angka 5% itu dikira berdasarkan kos operasi dan jumlahnya agak besar bagi syarikat tersebut.

Apabila ditanya sama ada kerajaan pusat bersedia melepaskan bayaran 5% yang diterima daripada Petronas kerana kerajaan juga mengutip cukai dan dividen, Dr Mahathir mempertahankan bayaran itu dengan berkata kerajaan juga memberi balik wang itu kepada negeri.

“Malah banyak kerajaan negeri berhutang dengan kerajaan pusat dan tidak membayarnya. Ini pinjaman tak berbayar yang bermakna Putrajaya boleh bangkrapkan kerajaan negeri yang tidak bayar balik hutang,” katanya.

Paling penting, kata Dr Mahathir, semua rakyat tanpa mengira negeri harus belajar untuk hidup bersama dan bersikap adil antara satu sama lain.

Beliau menegaskan kerajaan pusat mengetahui masalah yang dihadapi negeri Sabah, malah telah melakukan banyak pembaikan di negeri itu.

“Sabah yang saya lihat pada 1965, kali pertama saya ke sini, tidak mempunyai jalan raya di luar Kota Kinabalu. Walaupun (bekas ketua menteri) Haris Salleh memiliki kereta Jaguar, dia boleh memandu jarak sejauh 20 batu sahaja.

“Tetapi sekarang, serba serbi ada. Kita akan terus bangunkan Lebuhraya Pan Borneo, tetapi ia akan berjalan perlahan sedikit kerana kita tidak ada duit,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.