Rakyat Kena Bayar Cukai SST Yang Sepatutnya Ditanggung Peniaga

KUALA LUMPUR – Kerana cukai jualan dan perkhidmatan (SST), rakyat pula diibaratkan perlu membayar kos yang sepatutnya ditanggung peniaga.

Itulah antara luahan hati yang dilontarkan aktivis perhimpunan dalam Himpunan Anti SST yang berlangsung di perkarangan Kompleks Pertama, Kuala Lumpur, tengahari tadi.

Ujar Mohd. Fathir Mohd Amin, 64, SST langsung tidak memberikan manfaat kepada rakyat kerana melaluinya, pengilang dan peniaga boleh menaikkan harga barangan sesuka hati mereka.

“Apabila sampai di kedai, memanglah rakyat tidak lagi membayar barangan yang punyai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi kita harus membayarnya lebih daripada harga biasa.

“Segelintir pengilang dan peniaga pun bukannya tidak bijak, mereka naikkanlah harga awal-awal. Yang terima kesan dan harga akhir, rakyat juga,” katanya.

Dia berkata berdemikian sewaktu ditemui Utusan Online selepas Himpunan Anti SST anjuran Pemantau Malaysia Baru dan Gerakan Suara Rakyat berakhir.

Sementara itu, Mohd. Raslan Mohd. Yusof, 43, berkata, perhimpunan yang diketuai Presiden Pemantau Datuk Lokman Noor Adam itu adalah bertujuan untuk menyedarkan rakyat.

“Sebelum pilihan raya, Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah jelas mendendangkan janji yang tidak masuk akal termasuk Menteri Kewangan ketika ini, Lim Guan Eng.

“Pernah dia pamerkan dalam posternya, kalau rakyat tidak mahu GST, undilah PH dan kini, rakyat ‘dihadiahkan’ dengan SST yang lebih membebankan,” katanya.

Mengulaskan lanjut isu yang sama, Norma Abdullah, 20, mendakwa kecewa kerana PH bersikap tidak bertanggungjawab dan seperti tidak memikirkan masalah rakyat.

“Jadi, dengan kewujudan kumpulan kecil ini, kami berharap mampu menjadi badan semak dan imbang tentang apa-apa sahaja perkara yang kerajaan lakukan.

“Jika tidak betul, kami akan bersuara agar hak rakyat dicabuli dan rakyat akan menerima manfaat yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.