Kerjasama PAS dan UMNO Satu Keperluan Walaupun Tidak Mendesak – Abdul Hadi

KUALA NERUS – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kerjasama yang terbentuk di antara dua parti Melayu-Islam terbesar itu merupakan satu keperluan tetapi bukanlah mendesak.

Jelas beliau, kerjasama politik yang terjalin antara Pas dan UMNO hanya melibatkan perkara-perkara positif.

“Sebagai contoh, kita lihat keputusan pilihan raya umum baru-baru ini apabila kerajaan didominasi orang bukan Islam.

“Kemudian timbul pula tuntutan-tuntutan yang tidak wajar misalnya hapuskan Majlis Agama Islam, ini menyentuh sensitiviti umat Islam dan kita tidak boleh biarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini semalam.

Turut hadir, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, parti Islam itu juga tidak gopoh dan akan menilai situasi kerjasama tersebut dari masa ke semasa.

“Ahli Syura Ulamak akan melihat perkara ini dan Ahli Jawatankuasa Politik parti juga akan berbincang. Keputusan yang dibuat dari segi agama sama ada boleh atau tidak, jika boleh dilaksanakan ia bergantung kepada strategi politik,” ujarnya. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.