Kerajaan Akan Kembalikan Status ‘Rakan Sekutu’ Kepada Sabah, Sarawak – PM

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak setelah kajian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilakukan.

“Pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana di dalam MA63 memberi kita asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

“Pastinya keperluan-keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah-daerah yang mundur dan kelengkapan yang amat daif,” kata Mahathir dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia di sini malam tadi.

Turut hadir adalah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, serta barisan jemaah kabinet Persekutuan dan Negeri.

Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kajian semula terhadap M63 itu pasti akan menimbulkan semula keperluan penilaian semula terhadap beberapa amalan yang telah terlaksana sebelum ini.

“Harapan kita, apa saja penilaian semula yang dilakukan terhadap amalan-amalan ini perlulah dilakukan di dalam semangat setia kawan, saling menghormati dan sikap tolak ansur yang tinggi di antara kita.

“Tanpa semangat dan sikap ini, kesatuan kita sebagai satu negara dan satu bangsa akan terhakis dan keindahan yang kita kecapi bersama selama ini akan hilang di masa akan datang,” katanya.

Mahathir turut memberi jaminan untuk tidak mengabaikan Sabah dan Sarawak, serta mencari jalan untuk memajukan infrastruktur mengikut keperluan rakyat negeri-negeri tersebut.

Namun, beliau dalam masa yang sama mengharapkan agar rakyat di Sabah dan Sarawak untuk turut memahami bahawa masih ada sesetengah negeri di Semenanjung yang juga serba kekurangan dan memerlukan bantuan berterusan dari Kerajaan Pusat.

“Saya yakin hubungan antara rakyat yang terjalin begitu lama pasti menyedarkan kita betapa perlunya terdapat semangat ‘reciprocity’ atau timbal balik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Saya yakin rakyat Sabah dan Sarawak berasa senang dan diterima di Semenanjung kerana kehadiran mereka di sana tidak ada sebarang sekatan atau ‘encumberances’,” katanya lagi. 

PH dalam manifestonya ketika PRU14 sebelum ini menjanjikan pembentukan sebuah jawatankuasa khas kabinet berhubung MA63, yang mahu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran mereka. 

Jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil-wakil dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang mempunyai kepakaran dalam hal-hal berkaitan, akan memberi laporan terperinci kepada kerajaan dalam masa enam bulan daripada tarikh penubuhan untuk pelaksanaan segera.

Sebaik sahaja laporan dibentang dan diluluskan oleh Kabinet, Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab dalam pemantauan perlaksanaan cadangan-cadangan laporan tersebut. – SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.