“Kami Hanya Tahu Suspek Penghidap Autisme Ketika Di Balai Polis”

KUALA LUMPUR – Ibu kepada gadis yang menjadi mangsa raba seorang lelaki autisme kesal apabila keluarganya dikecam netizen gara-gara membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata, kejadian tersebut dimanipulasi segelintir pihak yang tidak mengetahui kisah sebenar sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen dalam media sosial.

“Kami hanya tahu suspek menghidap autisme ketika tiba di balai polis, namun ahli keluarganya (suspek) terus menerus mengecam kononnya kami tidak prihatin dengan nasib anak mereka yang menghidap penyakit tersebut.

“Kami faham keadaan suspek, tapi apa yang berlaku bukanlah sesuatu mudah untuk diterima, ibu bapa tersebut biarkan anak mereka berkeliaran tanpa pengawasan,” katanya dipetik Utusan Online.

Nur juga berkata, selepas kejadian itu mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik trauma dan tidak ceria seperti dahulu.

Tambahnya lagi, pihaknya masih menunggu laporan daripada hospital berhubung trauma yang dihadapi anaknya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki autisme berusia 22 tahun ditahan polis kerana meraba dada seorang gadis dalam satu kejadian di sebuah restoran di Jalan USJ 10/1B di sini, Selasa lalu. 

Sehari kemudian, ibu suspek dalam akaun Facebook miliknya menceritakan bahawa  anaknya yang merupakan penghidap autisme telah memegang dada seorang wanita ketika makan malam di sebuah restoran.

Menurut catatan di laman sosial itu, ibu suspek mendakwa keluarga mangsa tetap membuat laporan polis walupun dia sudah menjelaskan mengenai keadaan anaknya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 22 tahun itu dilakukan mengikut prosedur biasa polis.

Ujarnya, tangkapan dibuat ekoran pengecaman positif mangsa bersama saksi kejadian bagi tujuan siasatan serta keadilan kepada kedua-dua pihak. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.