Jho Low Wujudkan ‘Website’, Mengaku Tak Bersalah

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – Usahawan global, Low Taek Jho hari ini menyatakan pendiriannya sebagai tidak bersalah dalam isu yang didakwa mencuri berbilion wang dari dana pelaburan 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

Jho Low mengaku tidak bersalah dalam laman sesawang peribadinya yang dicipta pada hari ini, www.jho-low.com selepas berdiam diri selama ini selain menyatakan laman sesawang itu sebagai usaha untuk mengubah persepsi umum kepada dirinya.

Menerusi laman sesawang tersebut, Jho Low berkata, terlalu banyak maklumat dan dokumen yang tidak sahih disebarkan ke seluruh negara walaupun ia tidak dapat dibuktikan di mahkamah tanpa dapat beliau menegakkan keadilan bagi pihak dirinya.

“Banyak dakwaan yang berasal dari penulisan blog, kebocoran maklumat dari agensi-agensi kerajaan seluruh negara yang tidak betul, atau tuduhan yang tidak difailkan di mahkamah di mana saya tidak diberi peluang untuk menegakkan kebenaran.

“Kebenarannya, saya tidak bersalah,” tulis Jho Low dalam surat tersebut berserta tanda tangannya.

Tambahnya, Jho Low sendiri akan menyediakan dokumen-dokumen penting sebagai bukti yang tersebar meluas dan memenuhi matlamatnya untuk membetulkan dakwaan yang tidak tepat di sebalik isu 1MDB.

Jho Low juga meminta orang ramai, mahkamah dan pihak pendakwaraya untuk berfikiran terbuka sehingga bukti yang kukuh didedahkan.

“…saya juga akan menyediakan dokumen-dokumen mahkamah, petikan dari laporan media yang ada dan bahan-bahan lain yang dilihat mampu untuk dakwaan yang dimainkan oleh media seluruh dunia,” katanya.

Jho Low adalah usahawan terkenal yang dikaitkan dengan isu mencuri duit sebanyak AS$4.5 bilion dari dana pelaburan 1MDB dan dikehendaki oleh Malaysia dan Singapura bagi membantu siasatan.

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.