JDT dan Kelantan Lengkapkan Slot Ke Suku Akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara dua kali, Kelantan melengkapkan senarai lapan pasukan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas berakhirnya pusingan awal pertandingan bola sepak tertua tanah air itu, Ahad malam.

Pada aksi di Stadium Shah Alam, JDT menang selesa 3-0 ke atas wakil kelab Liga Premier MIFA, sekali gus muncul juara Kumpulan C dengan kutipan sembilan mata .

Tiga gol skuad Harimau Selatan diperoleh menerusi sepakan penalti Gonzalo Cabrera pada minit ke-62, serta gol padang dan sepakan penalti Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-72 dan ke-82.

Kelantan pula memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah mengatasi juara lima kali, Kedah 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Dua gol Kelantan dijaringkan oleh Muhammad Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-51 dan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-90.

Dalam pada itu, juara 33 kali, Selangor menamatkan kempen Piala Malaysia dengan bergaya setelah membenam wakil kelab Perak, PKNP FC 4-1 pada aksi Kumpulan D di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Keputusan itu bagaimanapun tidak memberi sebarang makna kepada kedua-dua pasukan berkenaan yang sudah tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Pada perlawanan berkenaan, PKNP FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Fandi Ahmad pada minit ke-29.

Skuad Gergasi Merah bangkit meledak empat gol, masing-masing menerusi Evan Dimas pada minit ke-37, sepakan penalti Rufino Segovia del Burgo (minit ke-39), sepakan percuma kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-42 dan jaringan pemain gantian, Joseph Kalang Tie pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Satu lagi aksi Kumpulan D di antara Sabah dan Pahang yang sepatutnya berlangsung di Stadium Likas, malam ini, ditunda pada Isnin bagi menghormati sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018 yang berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun sudah mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir, lebih awal selepas mengharungi lima perlawanan sebelum ini.Empat pasukan lain yang sudah layak ke suku akhir adalah Terengganu FC serta Perak daripada Kumpulan A dan PKNS FC serta Felda United daripada Kumpulan B.

Perlawanan suku akhir Piala Malaysia yang menggunakan format timbal balik akan berlangsung pada penghujung bulan ini.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.