Jangan Politikkan Isu UEC, Pemimpin PH Beritahu PAS

SHAH ALAM – Mana-mana sijil sama ada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mahupun sijil daripada pendidikan aliran Islam seperti dari maahad tahfiz dan sekolah pondok, perlu memenuhi piawaian (standard) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan terlebih dahulu sekiranya mahu mendapat pengiktirafan.

Ketua Angkatan Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, PAS tidak perlu mempolitikkan isu UEC memandangkan kerajaan PH sendiri bertegas bahawa isu berkenaan memerlukan kajian holistik sebelum dilaksanakan. 

“Negara kita bermasalah mengenai pendidikan kerana ada pelbagai aliran, jadi cara pemikiran juga berbeza. 

“Oleh itu jika mana-mana aliran mahu sijil mereka diiktiraf perlu mematuhi apa yang ditetapkan terlebih dahulu untuk mendapatkan pengiktirafan. UEC pun perlu ikut juga. Perlu ada pendidikan yang teras (core). 

“Maahad tahfiz kalau tiada akademik, nanti susah pula pelajarnya nak kerja dalam sektor kerajaan. Begitu juga UEC. Jadi apa pun perlu ikut standard,”katanya kepada SuaraTv. 

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan seorang wakil Muslimat PAS, Siti Makiah Samsudin yang menggesa kerajaan PH mengiktiraf sijil daripada pendidikan aliran Islam seperti dari maahad-maahad tahfiz dan sekolah pondok sekiranya bertegas mahu mengiktiraf UEC.

Siti Makiah berkata, langkah itu penting jika mahu dilihat membuka peluang sama rata dan kepada semua rakyat sebagaimana tuntutan yang diperjuangkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong).

Bagaimanapun Siti Mariah yang juga ADUN Seri Serdang itu berkata, apa yang penting adalah masa depan setiap pelajar  terjamin, bukan berlumba-lumba untuk mendapat pengiktirafan tanpa mengikut piawaian yang ditetapkan.

Sementara itu Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata sesiapa juga berhak membuat tuntutan, namun akhirnya ia perlu menepati piawaian sistem pendidikan kebangsaan.

“Kalau mana-mana sijil yang menepati akredetasi Malaysia, sudah tentu boleh diiktiraf, termasuk maahad tahfiz. 

“Jika maahad tahfiz ada kedudukan yang sama, boleh pohon,” kata Ahli Parlimen Temerloh.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya pula mempersoalkan niat PAS yang dilihat sengaja membangkitkan isu UEC selepas kerajaan beralih tampuk kepimpinan. 

“Kenapa politikkan isu UEC? Perlu berbalik kepada kualiti pembelajaran. Kita kena pertimbangkan kualiti, bukan  perbandingkan.

“Benda ini akan terkena dan terkesan kepada masa depan pelajar juga akhirnya. Jangan politikkan isu pendidikan,”katanya.

UEC merupakan sijil yang dikeluarkan sekolah menengah persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto PH. Bagaimanapun Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam kenyataannya sebelum ini memberi jaminan Kementerian Pendidikan sedang melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.