‘Jangan Lengah Kembalikan Hak, Keistimewaan Sabah, Sarawak’

KUCHING: Kajian semula mengenai hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa hanya akan melengahkan usaha mengembalikan keistimewaan kedua-dua wilayah berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing, berkata Kerajaan Pusat sepatutnya mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menyegerakan proses berkenaan kerana sudah terlalu lama rakyat di kedua-dua wilayah itu menunggu.

“Tiada keperluan untuk perjanjian itu dikaji semula, sebaliknya yang perlu diberikan keutamaan ialah pengiktirafan terhadap hak dan keistimewaan dijanjikan dalam MA63 kepada Sabah serta Sarawak, apabila kedua-dua wilayah ini bersetuju bersama membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

“MA63 ditandatangani empat pihak (wilayah) iaitu Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Sabah, Sarawak dan Singapura sebelum Singapura keluar membentuk pentadbiran sendiri pada 1965.

“Jadi, yang tinggal sekarang cuma tiga pihak sahaja untuk meneliti jika berlaku sebarang pelanggaran terhadap perjanjian ditandatangani itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan antara pemimpin tempatan yang lantang memperjuangkan hak serta keistimewaan negeri ini, berkata hanya tiga pihak berkenaan layak menentukan sama ada pelanggaran perjanjian itu cukup serius sehingga membolehkannya terbatal.

“MA63 ditandatangani Malaya, Sarawak dan Sabah, termasuk Singapura ketika itu sebelum mereka keluar (pada 1965)… ia bukan ditandatangani Kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak mahu pengumuman itu hanya sekadar mahu melengahkan pemulangan segala hak dan keistimewaan kita, begitu juga mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah, bukannya sebagai sebuah negeri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang, berkata sudah terlalu lama anak Sarawak menantikan pengumuman berkenaan, termasuk sekadar melihat kemajuan dikecapi kebanyakan negeri di Semenanjung, menggunakan hasil pengorbanan Bumi Kenyalang.

“Kita mengalu-alukan pengiktirafan semula Sarawak sebagai wilayah dan rakan sekutu pembentukan negara ini. Ia sewajarnya membolehkan kita memperoleh layanan sebagai sebuah wilayah, bukan lagi hanya sebuah negeri.

“Sarawak kini adalah satu daripada tiga komponen (wilayah) yang membentuk Malaysia bersama Sabah dan Malaya, bukan lagi satu daripada 14 negeri dalam Malaysia,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.