Penularan berita palsu melalui aplikasi WhatsApp sejak dua hari lepas telah menyebabkan keresahan di kalangan penduduk di daerah ini walaupun sebenarnya ia tidak benar.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor Azli Mohd Noor setakat kini pihaknya belum menerima sebarang laporan kejadian orang hilang di daerah itu.

“Orang ramai diminta supaya berhenti menyebarkan berita berkenaan kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat.

“Sekiranya terdapat sebarang berita yang meragukan, orang ramai seharusnya dapatkan pengesahan terutama daripada polis terlebih dahulu sebelum menyebarkannya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sejak dua hari lalu tular di media sosial kononnya terdapat satu sindiket menculik remaja dan kanak-kanak bergiat aktif di daerah ini menyebabkan 16 orang hilang tanpa dikesan.


Kumpulan berkenaan kononnya menaiki motosikal dan kereta untuk menjalankan kegiatan jenayah itu dan dikatakan akan menjadikan Kluang, Mersing dan Kahang di Johor sebagai lokasi sasaran seterusnya. – BERNAMA