Beberapa manifesto ditangguh, kata Anwar

SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beberapa janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) terpaksa ditangguhkan buat masa ini.

Sambil memohon maaf Anwar berkata parti itu tidak menjangkakan hutang negara mencecah sehingga RM1 trilion.

“Sekarang ini apabila lihat, kenyataan dia berbeza, oleh demikian itu… saya minta maaf kerana ada manifesto yang kita boleh lakukan dan ada yang lain kita kena tangguhkan,” katanya pada sesi soal jawab program ‘Meet Anwar’ anjuran Anwar Ibrahim Club.

Namun beliau tidak menyebut secara spesifik manifesto yang bakal ditangguhkan kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa beliau memberi sokongan 100 peratus kepada pentadbiran kerajaan di bawah Dr Mahathir dan menyeru rakyat untuk memberi peluang kepada pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu untuk memerintah negara.

“Sekarang Tun Dr Mahathir baru jadi perdana menteri selama empat bulan, bagi peluang dia perintah dengan baik, kita sokong dia. Ruang sekarang ini adalah untuk beri sokongan padu, saya nak kerajaan PH kuat, dihormati dan boleh laksanakan perubahan. Sekarang giliran Tun Dr Mahathir, kita sokong, saya beri dia sokongan 100 peratus,” katanya.

Mengulas mengenai dasar kerajaan terhadap negeri-negeri pembangkang, katanya dasar kerajaan PH adalah tidak meminggirkan mana-mana daerah dalam negara.

“Kita hormati hak mereka, dari segi perlembagaan tanggungjawab kerajaan adalah untuk membantu rakyat tanpa kira fahaman politik dan agama. Mudah-mudahan dengan pelaksanaan (dasar) esok, terbuka hati Kelantan (antara lain) dan rujuk kita,” katanya.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.