UMNO Sungai Besar Akui Ada Musuh Dalam Selimut

SABAK BERNAM: UMNO Bahagian Sungai Besar bukan saja berhadapan dengan musuh dari luar parti, malah ia juga menghadapi musuh dalam kalangan ahlinya sendiri.

Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, pihaknya mengesan ada dalam kalangan ahli parti itu sendiri yang cuba menyerang wakil rakyat dan kepemimpinan di bahagian berkenaan.

Namun, katanya, beliau mengambil pendekatan bersemuka dengan ahli terbabit yang sekurang-kurangnya dapat menangani permasalahan kerana bimbang jika ia tidak ditangani akan menyebabkan berlaku perpecahan.

“Apabila saya dapat tahu ada berlaku permasalahan yang sebegitu, saya memanggil atau berjumpa sendiri dengan ahli terbabit dan kalau tak dapat jumpa saya tunggu mereka di rumah (masing-masing) untuk diberikan penerangan yang jelas.

“Kalau mereka ini ada masalah, kita cuba bantu kerana mereka inilah orang dalaman yang perlu diberikan perhatian atau perlu diselesaikan masalahnya terlebih dahulu,” katanya pada Majlis Pelancaran Nota Ceramah PRU14 dan Penerangan Perjuangan 4 ALL Parlimen Sungai Besar di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Jamal berkata, beliau sendiri turun padang untuk bertemu dengan semua 115 ketua cawangan UMNO di kawasannya, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, beliau mahu memastikan setiap jentera parti tidak berdepan dengan masalah peribadi yang akhirnya merugikan parti.

“Perjumpaan di rumah ketua cawangan hampir selesai dan fasa kedua, saya ingin berjumpa dengan semua ketua-ketua wanita cawangan.

“Pertamanya bagaimana kita nak mengarahkan dan mengharapkan mereka menjadi jentera yang baik untuk hadapi pilihan raya sedangkan mereka ini ada masalah.

“Contohnya, mereka tak punyai kenderaan nak pergi ke majlis atau pun ke program. Jika ini pun kita tak ambil tahu, sudah pasti mereka tidak akan menjadi jentera yang baik,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.