Tidak Akan Perlahan Kerjaya

Terlaksana sudah salah satu impian hidup pelakon ini untuk mendirikan mahligai cinta dengan lelaki yang dikasihi. Dia bersyukur dan mengakui ‘sesal’ kerana tidak berkahwin lebih awal.Terlaksana sudah salah satu impian hidup pelakon ini untuk mendirikan mahligai cinta dengan lelaki yang dikasihi. Dia bersyukur dan mengakui ‘sesal’ kerana tidak berkahwin lebih awal.

Cuma pasti pelbagai soalan menerjah masuk ke jendela seni pelakon, Ummi Nazeera. Persoalan timbul adakah dia bakal meninggalkan dunia lakonan yang sudah diceburi sejak lapan tahun lalu.

Sementelah dia kini dilihat lebih aktif dalam dunia perniagaan selepas kelahiran produk kecantikannya, Nazeera Village, adakah dia mungkin perlahan-lahan meninggalkan dunia seni?

Bersua bicara dengan pelakon ini, ada nada tegas tatkala menjawab soalan itu. Sama sekali tidak! Itu jawapan konkrit yang diberikan oleh pelakon yang mula meningkat naik menerusi drama Nur Kasih ini.

“Saya tidak akan memperlahan atau meninggalkan dunia lakonan. Ini minat dan jiwa saya. Lagipun suami juga tidak pernah menghalang atau memberi tanda-tanda untuk saya berhenti berlakon.

“Banyak lagi impian sebagai anak seni yang belum saya capai. Perkahwinan dan status sebagai isteri orang tidak merencatkan perjalanan saya,” kata pelakon yang mendirikan rumah tangga dengan Dr. Mohd. Izzar Anwari Abdul Khani Julai lalu ini.

Membuka gelanggang bicara perasaan bergelar isteri, terbit sinar kebahagiaan dari relung mata wanita berusia 27 tahun ini. Dia jelas meniti perjalanan alam perkahwinan dengan cukup senang hati.

Mengakui banyak cabaran yang perlu ditempuhi pada awal perkahwinan namun dia dan suami saling bertoleransi dan sentiasa berkomunikasi untuk mengelakkan salah faham dan kecelaruan.

“Kami memang selalu gaduh-gaduh manja tetapi setiap kali balik rumah selepas habis kerja, kami akan duduk bersama dan berkomunikasi. Dia (suami) memang agak garang dari segi intonasi percakapan.

“Sekarang kalau balik kerja, saya tahu ada orang akan tunggu di rumah. Malah sarapan pagi dan makan malam juga saya cuba untuk sediakan. Tanggungjawab sebagai isteri katakan.

“Baju yang dia akan pakai pun saya sediakan. Rasa lebih tanggungjawab selepas berkahwin ini. Ada juga rasa menyesal tak kahwin awal.
“Tapi kalau kahwin awal, saya tak kahwin dengan dia pula,” katanya yang kini giat mempromosikan filem Bisik Pada Langit.

Beri yang terbaik

Berbicara soal filem Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia, Ummi mengakui dia terpaksa mengharungi pelbagai cabaran demi memberikan yang terbaik menerusi lakonannya. Dikafankan dan babak nazak merupakan antara babak yang paling diingati.

Masakan tidak, berlakon dengan pelakon hebat seperti Beto Khusyairi dan Jalil Hamid, Ummi turut sama mahu memberikan yang terbaik untuk filem yang mengangkat kisah kasih ayah terhadap anak sebagai jalan cerita.

Malah dia juga tidak kisah untuk tampil tanpa sebarang solekan pada wajah semata-mata untuk menjiwai watak gadis kampung dalam filem itu. Baginya, itu semua sebahagian daripada tugasnya sebagai pelakon.

“Semasa babak nazak itu saya terlalu memberi penghayatan sehingga kaki kejang. Satu pengalaman yang berharga sebagai pelakon kerana saya pertama kali dikafankan dalam filem ini.

“Saya terima watak ini setelah melihatkan kehebatan skrip, pengarah dan juga para pelakon lain antaranya Beto Khusyairi dan Jalil Hamid. Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan seperti ini.

“Filem ini pastinya bakal membuatkan penonton mengalirkan air mata. Kisah kasih ayah kepada anaknya ini cukup menyayat hati. Jangan lupa tonton ya,” katanya yang mengakui suaminya turut bergenang air mata tatkala menonton filem tersebut.

Dicuit soalan panas, adakah dia mula rasa tertekan dengan soalan-soalan cepumas berkaitan dengan hal zuriat, seraya tersenyum manja, Ummi mengangguk setuju namun dia punya cerita sendiri.

“Memang ramai sudah mula tanya. Tapi saya tidak tertekan pun, sebab baru sebulan mendirikan rumah tangga. Cuma ada yang bertanya, saya merancang keluargakah? Itu sahaja.

“Malah setiap kata-kata mereka untuk saya cepat dapat zuriat umpama satu doa yang baik untuk saya. Ramai yang doa supaya saya cepat-cepat dapat anak,” katanya pelakon Nahu Rindu ini.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.