Mangsa Terselamat Insiden Kebakaran Pusat Tahfiz Masih Trauma

KUALA LUMPUR – Nur Hayati Che Ahmad, 30, isteri naib mudir Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terselamat dalam kebakaran Khamis lepas, masih trauma serta sering termenung.

Menurut suaminya, Muhammad Azhari Mahmod, 40, isterinya yang sedang hamil dua bulan anak kelima mereka, turut memberitahunya yang dia masih terdengar-dengar suara anak-anak tahfiz terbabit yang menjerit kesakitan ketika kejadian.

“Ketika kejadian isteri sedang solat dan terdengar bunyi desiran gas serta terhidu bau yang tidak menyenangkan sebelum anak sulung memberitahu ternampak api di luar pintu yang menempatkan bilik asrama,” katanya lapor MD.

Muhammad Azhari dan isteri serta empat anak mereka yang kesemuanya perempuan menghuni satu ruang di tingkat tiga bangunan itu yang musnah dalam kebakaran berkenaan.

Nur Hayati serta anak mereka termasuk bayi berusia sembilan bulan diselamatkan anggota bomba sejurus kejadian. 

Menurut Muhammad Azhari ketika kejadian beliau dalam penerbangan pulang daripada mengerjakan ibadah haji dan hanya mampu berdoa akan keselamatan keluarganya apabila dimaklumkan tentang tragedi itu sebaik tiba di tanah air.

Katanya isteri dan anaknya Siti Nur Safiyah, 2, kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum dibenarkan pulang sehari kemudian.

“Isteri dan kesemua anak saya diselamatkan pelajar dan bomba. Saya bersyukur kesemua mereka termasuk anak bongsu, Siti Nur Afifah yang baru berusia sembilan bulan dipelihara Allah. Cuma anak saya yang berusia dua tahun masih batuk-batuk,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Muhammad Azhari berkata anak sulungnya Siti Nur Fatimah,12, yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pada hari kejadian, terpaksa meminjam baju daripada anggota keluarga yang lain kerana pakaian sekolahnya hangus terbakar.

“Alhamdulillah. Anak saya maklumkan dia mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik,” katanya menambah mereka sekeluarga kini tinggal di sebuah rumah di Keramat.

Dalam kejadian 5.15 pagi itu, 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz tersebut terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.