Mahathir Mulakan Permusuhan Dengan PAS – Dr Mahfodz

SHAH ALAM – Menjawab dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai musuh PAS sejak dari dahulu, seorang pemimpin parti itu berkata tindakan itu tidak akan timbul jika bekas perdana menteri itu ‘berlembut’ dengan PAS.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata bekas perdana menteri itu tetap tidak menyenangi perjuangan PAS yang berasaskan Islam semenjak beliau memimpin negara sehingga kini bersama pembangkang.

“Dr Mahathir yang memulakan permusuhan, bukan sahaja dengan PAS tetapi juga Islam. Sejak beliau menjadi PM selama 22 tahun, Dr Mahathir tidak membantu PAS melaksanakan hukum syariah.

“Antaranya apabila kerajaan PAS Kelantan meluluskan rang undang-undang kanun jenayah syariah pada tahun 1993. Kita buat cadangan kepada kerajaan pusat ketika Dr Mahathir sebagai PM, bukan sahaja ditolak malah diugut.

“Termasuk nak bawa isu ini ke mahkamah persekutuan kononnya kanun jenayah syariah bertentangan dengan Perlembagaan. Malah jika diteruskan juga akan memberi kesan kepada PAS,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Dr Mahathir terdahulu menganggap PAS kekal dengan pendirian menjadikan dirinya sebagai musuh utama parti itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata parti berteraskan Islam itu sering menuduhnya melakukan perkara-perkara bertentangan dengan Islan, namun apabila diminta memberikan bukti, PAS gagal berbuat demikian.

Malah PAS juga berang dengan tindakan Dr Mahathir menyumbat ramai pemimpin dan ahlinya ke penjara mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri ketika menjadi perdana menteri.

“Banyak orang-orang PAS ditahan tanpa bicara menerusi ISA,” ujar Mahfodz lagi.

Tragedi Memali yang berlaku pada tahun 1985 juga terus menjadi dendam buat PAS terhadap Dr Mahathir kerana mengorbankan ramai pemimpin dan ahlinya.

Ketidakadilan itu memaksa PAS mendesak diadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat punca kematian ahli PAS dan anggota polis yang terlibat. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.