Boy Iman Buat Laporan Polis Dakwa Difitnah

Datuk Norul Iman Abd Rahman membuat laporan polis ke atas pengendali Facebook dan pihak media yang didakwanya menuduh dia melakukan penipuan skim jualan rumah.

Pelakon dan usahawan yang lebih dikenali sebagai Boy Iman itu berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas laman Facebook, PW Community, yang didakwa memfitnahnya pada 6 September lalu.

Selaku Ketua Pegawai Eksekutif DBI Technology (DBI), Boy berkata sebuah portal hiburan dan stesen televisyen turut dinamakan dalam laporan berkenaan.

“Pihak syarikat mengalami kerugian maksimum akibat dakwaan tidak berasas yang disiarkan PW Community tanpa henti dan menuduh kami tanpa melakukan perbincangan secara profesional.

“Kami dituduh melakukan scam. Perkara itu menyebabkan orang ramai memberi pandangan negatif terhadap perniagaan perumahan selain diugut dalam media sosial oleh pemilik akaun tidak dikenali,” katanya seperti dalam satu kenyataan.

Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Ampang semalam.

Pada 6 September lalu, PW Community menyiarkan dakwaan bahawa DBI mengutip dana dan menipu orang ramai dengan menggunakan helah menjual rumah menerusi skim piramid.

Menurut PW Community, DBI memberikan tawaran cukup menarik pada rekaan bentuk rumah yang jika mengikut harga jualan semasa boleh mencecah RM200,000 tetapi dijual dengan harga RM50,000.

Laman Facebook itu juga mendakwa masyarakat akan mudah terperangkap dengan pakej ditawarkan kerana hakikatnya DBI melakukan penipuan selepas dikaji secara terperinci.

Bagaimanapun, Roy menyifatkan tuduhan itu sangat membimbangkan terhadap syarikatnya.

Malah dia juga berasa kecewa apabila stesen televisyen yang turut dinamakan dalam laporan polis itu membatalkan iklan berbayar oleh syarikatnya kerana termakan dengan fitnah tersebut.

“Unsur ugutan terhadap DBI amat membimbangkan kerana kami memiliki kakitangan yang memakai pakaian korporat rasmi syarikat.

“Kami memohon pihak berkuasa melindungi dan membanteras isu jenayah sosial media yang semakin berleluasa. Kami juga memiliki bukti daripada individu yang memfitnah,” katanya.

Sementara itu PW Community berkata mereka sudah memaparkan “bukti audio” yang didakwa mereka menunjukkan syarikat Boy Iman mengamalkan sistem piramid.

Katanya, mereka mempunyai bukti bahawa bukan saja syarikat itu yang memperdaya pengguna, malah ejen mereka juga.

“DBI Technology hanyalah talian hayat kepada scam DBI Properties,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.