Berhentilah Tuding Jari, Kata Pengetua Tahfiz

Susulan tertangkapnya tujuh suspek yang didakwa menyebabkan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, pengetuanya Mohd Zahid Mahmood meminta semua pihak agar berhenti menyalahkan institusi tahfiz.

Beliau berkata, semua pihak sepatutnya menunggu pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh sebelum mengulas sesuatu perkara.

“Masyarakat jangan mudah menuduh dan menuding jari kepada institusi tahfiz, kononnya tahfiz ini memang banyak salah dan kekurangan.

“Saya meminta netizen dan masyarakat, dalam institusi tahfiz ini jika berlaku apa-apa kes tunggu siasatan pihak berwajib dulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat tahfiz itu hari ini.

Pada sidang media semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kebakaran yang menggemparkan seluruh negara itu.

Polis berkata motif kebakaran adalah dendam yang berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek antara pelajar tahfiz dan suspek.

Mengulas perkara itu, Zahid berkata pertelagahan seperti itu tidak seharusnya mencetuskan pergaduhan yang menyebabkan kematian.

“Kita dahulu pun pernah merasai ejek mengejek, berbalah. Itu lumrah kanak-kanak. Saya tak anggap ia benda besar sehingga menyebabkan kematian,” katanya dengan nada kesal.

Beliau bagaimanapun berkata tidak pernah tahu tentang pertengkaran atau insiden pertelagahan antara pelajarnya dengan suspek.

 

“Tiada terima laporan kerana kita memang hanya dua kali seminggu akan beriadah di padang untuk riadah, Isnin dan Rabu sahaja, dan akan dipantau oleh tiga atau empat orang ustaz,” katanya.

Dalam sidang media semalam, polis berkata penangkapan suspek menandakan kes itu sudah diselesaikan.

Dalam kejadian awal pagi 14 September itu, 21 pelajar dan dua warden meninggal dunia apabila sebahagian daripada bangunan 3 tingkat pusat tahfiz itu terbakar.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.